Ahad, 27 Januari 2019 | 9:01am

Ibu tunggal jadi ketua keluarga

LUBNAN: Kem Enma yang didiami hampir 250 keluarga pelarian Syria dekat Akkar di sini, kelihatan daif pada binaan khemah penempatan mereka kerana kebanyakannya diperbuat daripada kanvas terpakai dan bahan kitar semula.

Namun, di sebalik kedaifan binaan khemah itu, kem terbabit yang lebih 60 peratus ketua keluarganya adalah ibu tunggal, diakui antara penempatan pelarian di Lubnan yang keadaan persekitarannya bersih dan teratur.

Kebanyakan wanita terbabit menjadi ibu tunggal akibat kematian suami susulan perang melanda Syria atau hilang tanpa dapat dikesan.

Kem atas tanah persendirian itu didiami pelarian sejak enam tahun lalu dengan setiap keluarga perlu membayar sewa tapak khemah sebanyak AS$17 sebulan, terletak di kawasan paling utara di Lubnan dan menjadi antara penempatan di bawah pengurusan Union of Relief and Development Association (URDA).

Saya berpeluang meninjau kem berkenaan yang terletak kira-kira 180 kilometer selepas menempuh perjalanan selama tiga jam dari Lembah Beqaa ketika kami menghantar bekalan bantuan minyak tanah kepada keluarga pelarian di sana seharian kelmarin.

Persekitaran khemah bersih

Ketika menyusuri lorong di antara khemah penempatan itu, saya dapati kawasan persekitarannya cukup bersih, apabila tiada sampah sarap dibuang sesuka hati seperti penempatan lain yang pernah dilawati sebelum ini.

Malah sisa makanan dari setiap khemah pelarian dikumpulkan dalam bekas di kotak pertanian mereka untuk dijadikan baja kompos, manakala serpihan roti dikeringkan untuk makanan merpati.

Melewati sebuah khemah, saya dan rakan sukarelawan terhidu keharuman biskut yang dibakar sebelum seorang wanita yang berada di dalamnya menjemput sukarelawan wanita masuk ke dalam khemahnya.

SARA (dua dari kanan) berkongsi biskut yang dibakarnya bersama-sama sukarelawan Aman Palestin yang mengunjungi Kem Enma.
SARA (dua dari kanan) berkongsi biskut yang dibakarnya bersama-sama sukarelawan Aman Palestin yang mengunjungi Kem Enma.

Dalam khemah itu, ibu tunggal kepada tiga anak, Sara Khaled, 30, sedang membakar biskut berintikan lebihan kurma yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengagihkan makanan kepada keluarga pelarian.

Kami menerima pelawaannya untuk menikmati kesegaran biskut yang baru dibakar dengan perasaan berbelah bahagi kerana menyangka juadah itu untuk jualan sebelum dimaklumkan semuanya hanya untuk dikongsi bersama-sama jiran yang mendiami khemah sekitarnya termasuk tetamu seperti kami.

“Bila ada lebihan makanan yang boleh dijadikan biskut, saya akan sediakan bersama beberapa rakan di sini sebelum dinikmati bersama-sama,” katanya.

Di beberapa lokasi lain sekitar kem pelarian itu, saya dapat melihat beberapa kelompok golongan ibu bersantai di luar khemah ekoran cuaca cerah sambil berbual dan menikmati hidangan teh.

Agih sumbangan minyak tanah

Dalam kunjungan ke kem berkenaan, kami membantu mengagihkan sumbangan 20 liter minyak tanah sumbangan rakyat Malaysia menerusi Aman Palestin kepada 250 keluarga pelarian di situ.

Kenyataan bahawa ramai ibu tunggal mendiami kem terbabit, jelas terbukti apabila barisan wanita selaku ketua keluarga yang menanti untuk menerima agihan, lebih panjang daripada lelaki.

Terdahulu, Pengurus URDA Lubnan Utara, Abdul Rahman Darwush, ketika meraikan kami di kem berkenaan, berkata secara purata setiap keluarga pelarian di situ mempunyai lima hingga 10 ahli keluarga, tetapi tidak menerima bantuan kewangan bulanan daripada agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Mereka bergantung kepada bantuan daripada (NGO) tempatan dan antarabangsa yang menyokong usaha URDA membela nasib pelarian di sini.

“Setiap khemah di sini dilengkapi kemudahan panel solar yang menyediakan bekalan elektrik bagi menghidupkan tiga mentol lampu LED yang dipasang di bumbung khemah,” katanya yang turut memberi taklimat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut.

Kawasan penempatan itu juga dilengkapi kemudahan tandas, ruang mandi dan membasuh secara berpusat, mengikut jantina yang turut dilengkapi kemudahan pemanas air yang menggunakan kemudahan solar dibangunkan NGO antarabangsa.

Abdul Rahman berkata, URDA juga membangunkan deretan 13 kios dengan modal kepada keluarga pelarian yang daif untuk berniaga dengan keuntungan membolehkan mereka berusaha menyara diri.

Antara perniagaan dibuka di situ termasuk kedai runcit, gunting rambut, bakeri, jahitan, pusat siber dan bengkel latihan.

Selepas dua hari mempunyai program bantuan di luar Lembah Beqaa, semalam saya mempunyai program bersama-sama anak kecil sekitar kem Al-Awdah yang didiami serta kem Yasamin yang terletak bersebelahan.

Ikuti laporan selanjutnya dalam akhbar BH esok.

Sumbangan untuk Program Bantuan Musim Sejuk kepada pelarian Syria boleh dibuat menerusi akaun Maybank Aman Palestin 562263010787 atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi www.amanpalestin.net

GOLONGAN ibu keluarga pelarian menerima agihan minyak tanah daripada sukarelawan Aman Palestin di Kem Enma dekat Akkar di utara Lubnan, kelmarin.
GOLONGAN ibu keluarga pelarian menerima agihan minyak tanah daripada sukarelawan Aman Palestin di Kem Enma dekat Akkar di utara Lubnan, kelmarin.
Berita Harian X