Jumaat, 25 Januari 2019 | 12:02pm

Gigih ajar al-Quran di masjid serba daif

LUBNAN: Cahaya matahari musim sejuk yang menembusi cermin tingkap Masjid Kem Al-Awdah, dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rabeah Natof, yang gigih mengajar anak pelarian mengaji al-Quran di situ.

Rabeah, 40-an, berbuat demikian demi menjimatkan penggunaan bekalan elektrik kerana tenaga disalurkan ke situ berpunca daripada jana kuasa berkuasa diesel yang lebih diperlukan pada waktu malam di sekitar kem ini.

Beliau yang juga bekas imam masjid itu, mengendalikan tiga kelas pengajian al-Quran bermula jam 4 hingga 6 petang membabitkan dua kelas, iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara empat hingga 15 tahun.

Kira-kira 30 anak pelarian Syria yang mendiami kem Al-Awdah mengambil peluang menyertai kelas al-Quran dikendalikan Rabeah, termasuk sesetengah mereka menyertainya selepas pulang dari sekolah.

Meskipun terpaksa menempuh perjalanan setengah jam untuk pergi dan balik dari Saadnayel ke masjid itu demi mengajar anak terbabit, Rabeah tetap komited kerana beliau juga pernah tinggal dalam kem ini sebelum berpindah keluar selepas ditawarkan kerja dan kemudahan kediaman di masjid.

Rabeah mengajar anak pelarian mengaji al-Quran di Masjid Kem Al-Awdah. - NSTP/Ismail Mat
Rabeah mengajar anak pelarian mengaji al-Quran di Masjid Kem Al-Awdah. - NSTP/Ismail Mat

Permaidani kusam, reput

Beliau yang mengajar secara sukarela, menyifatkan usaha itu adalah bagi memastikan anak pelarian Syria terus menghayati al-Quran, biar pun hidup mereka diselubungi pelbagai kesulitan.

Masjid dalam kem ini memang daif, dengan permaidani kusam dan reput, namun itu tidak menghalang pelarian daripada mengimarahnya sepanjang musim sejuk yang mencengkam ini.

Tanpa kemudahan pemanas air, bagi penulis berwuduk ketika musim sejuk sepanjang mendiami kem pelarian ini umpama berendam dalam air batu.

Hanya semangat dan kemahuan tinggi demi mematuhi perintah Allah yang mampu mengatasi segala-galanya.

Demi perkembangan syiar Islam di sekitar kem pelarian, selain menyumbang bantuan makanan, Aman Palestin turut menyumbang dana AS$18,000 (RM75,000) bagi menambah baik kemudahan masjid dalam Kem Yasamin yang bersebelahan Kem Al-Awdah ini kerana keadaan di sana lebih memerlukan.

Pekerja memasang siling Masjid Kem Yasamin. - NSTP/Ismail Mat
Pekerja memasang siling Masjid Kem Yasamin. - NSTP/Ismail Mat

Pekerja binaan terdiri daripada pelarian Syria memasang siling di Masjid Kem Yasamin yang lebih daif berbanding Masjid Kem Al-Awdah. - NSTP/Ismail Mat
Pekerja binaan terdiri daripada pelarian Syria memasang siling di Masjid Kem Yasamin yang lebih daif berbanding Masjid Kem Al-Awdah. - NSTP/Ismail Mat

Sedia tandas, tempat wuduk

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut, yang baru tiba malam kelmarin, untuk menyertai kumpulan sukarelawan di sini, berkata dana disalurkan itu bagi tujuan menyediakan kemudahan tandas dan tempat berwuduk untuk kemudahan jemaah di situ.

“Selama ini, pelarian kem terbabit terpaksa berwuduk di rumah sebelum ke masjid, keadaan itu menyulitkan mereka, termasuk jika mahu menggunakan tandas.

“Kami juga memasang siling serta membina mimbar dalam masjid berkenaan kerana mereka turut mengerjakan solat Jumaat di situ,” katanya.

Sementara itu, kumpulan sukarelawan, termasuk penulis meninjau kerja tambah baik kemudahan masjid sebelum meneruskan program menziarahi keluarga pelarian sebelah pagi dan malam kelmarin, bagi memahami secara lebih mendalam kehidupan yang dilalui mereka sejak mendiami kem pelarian di sini.

Anak pelarian Syria membawa tong 20 liter minyak tanah. - NSTP/Ismail Mat
Anak pelarian Syria membawa tong 20 liter minyak tanah. - NSTP/Ismail Mat

Awang Sufian bersama tiga lagi sukarelawan, termasuk Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab, pula melakukan agihan bantuan minyak tanah dan kotak makanan kepada keluarga pelarian yang mendiami lapan kem sekitar Arsal.

Pagi semalam, kami meneruskan program dengan menjalankan program di kem pelarian sekitar kawasan Chebaa, di selatan Lubnan, yang terletak bersebelahan Bukit Golan.

Sumbangan untuk Program Bantuan Musim Sejuk kepada pelarian Syria boleh dibuat menerusi akaun Maybank Aman Palestin 562263010787 atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi www.amanpalestin.net

Berita Harian X