Rabu, 23 Januari 2019 | 3:32pm
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, (tiga dari kiri) meninjau ke tapak Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 sambil ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Faizal Othman, (dua dari kiri) dan Pengerusi Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Amiruddin Abdul Aziz, (kiri) ketika Lawatan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli ke Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2. - Foto Azhar Ramli
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, (tiga dari kiri) meninjau ke tapak Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 sambil ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Faizal Othman, (dua dari kiri) dan Pengerusi Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Amiruddin Abdul Aziz, (kiri) ketika Lawatan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli ke Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2. - Foto Azhar Ramli

Semakan semula tarif pembetungan masih dalam kajian - Dr Xavier

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang dalam peringkat kajian untuk menyemak semula kadar tarif pembetungan di negara ini bagi menampung kenaikan kos utiliti dan operasi semasa.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata kajian mengenainya sudah dilaksanakan sejak tahun lalu dan ia kini pada peringkat perbincangan antara agensi kerajaan.

“Tarif kumbahan di Malaysia adalah antara terendah di dunia dan sejak 25 tahun lalu, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd tidak pernah menaikkan kadar tarifnya meskipun berdepan kenaikan mendadak kos operasi serta utiliti.

“Kadar yang dikenakan sejak dulu adalah adalah RM2 sebulan bagi rumah kos rendah manakala rumah teres, berkembar atau banglo adalah RM8 (sebulan) kerana kerajaan memberikan subsidi.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kata putus dan sebagai menteri, saya sendiri tidak boleh menjangkakan bila kajian semakan semula tarif pembetungan ini dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 di Pantai Dalam, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman.

Mengulas lanjut, Dr Xavier berkata sektor perkilangan dan perladangan di negara ini juga diminta untuk mengitar semula sisa kumbahan sebagai sumber alternatif mampan di samping menyokong pengurusan air yang lebih bersepadu.

Katanya, masyarakat perlu yakin dengan hasil daripada bahan sisa kumbahan kerana kepakaran teknologi yang diguna pakai adalah setanding dengan negara maju lain.

Katanya, IWK menjalankan pelbagai penyelidikan dalam penghasilan bi-produk sisa kumbahan iaitu biopepejal (baja), bioefluen (air) dan biogas (sumber elektrik).

“Air sisa kumbahan yang dirawat IWK sememangnya menepati piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kebanyakannya dilepas semula ke sungai, ia juga menjadi salah satu sumber air alternatif untuk negara.

“Selain itu, IWK juga berpotensi dalam penghasilan air bukan minuman. Justeru, kementerian akan memberi tumpuan kepada pembinaan Loji Pulihguna Air (WRP) yang hasilnya boleh diguna pakai terutama apabila negara menghadapi krisis air pada musim kemarau seperti fenomena El Nino,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai cadangan menaikkan kadar tarif air , Dr Xavier berkata secara amnya semua negeri sudah bersetuju dengan cadangan itu, namun kadar kenaikan belum ditetapkan.

“Perbincangan masih berjalan dan beberapa negeri sudah bersetuju dengan formula yang kita gunakan.

“Ini adalah keputusan kerajaan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ( SPAN ), kita mahu lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya.

Berita Harian X