Rabu, 23 Januari 2019 | 1:43pm

Derita di sebalik bongkah granit

Lubnan: Menyusuri laluan becak dan licin akibat salji cair di sekitar pekan Arsal mengundang pertanyaan di hati penulis, siapakah pemilik bangunan dan kediaman tersergam itu dengan khemah pelarian berselerak di sekitarnya.

Peluang mendekati keluarga pelarian yang mendiami tujuh kem ketika mengagihkan sumbangan rakyat Malaysia menerusi Aman Palestin di kawasan terbabit sepanjang hari kelmarin, memberi peluang kepada saya memahami suasana itu.

Kawasan Arsal yang terletak di utara Lembah Beqaa, adalah antara lokasi pengeluaran batu granit yang banyak digunakan dalam binaan kediaman penduduk tempatan yang berkemampuan dan pemilik perusahaan pekan ini yang agak tersisih daripada pembangunan ekoran pertembungan ideologi politik tempatan.

Ramai pelarian Syria bekerja dalam kuari terbabit untuk me-ngorek, memotong dan mencanai granit kepada kepingan mengikut ukuran diperlukan.

Namun, di sebalik kerja berat itu, upah yang dibayar kepada buruh yang memprosesnya adalah berbeza mengikut status, sama ada pelarian atau penduduk tempatan.

Hasil perbualan dengan penduduk tempatan dengan bantuan Pengurus Union of Relief and Development Association (URDA), Omar Jannoun, penulis dimaklumkan wujud diskriminasi kadar upah terhadap pelarian walaupun pekerjaan yang dilakukan adalah sama.

Menurut mereka, pelarian yang bekerja di kuari dibayar gaji harian sekitar AS$10, berbanding pekerja tempatan antara AS$15 hingga AS$25 sehari.

Khemah pelarian dibina atas kawasan berbukit sekitar Arsal, masih diselubungi salji yang sedang mencair. - Foto Ismail Mat
Khemah pelarian dibina atas kawasan berbukit sekitar Arsal, masih diselubungi salji yang sedang mencair. - Foto Ismail Mat

Upah serendah AS$7 sehari

Bagi pelarian yang bekerja di ladang atau kebun serta bengkel, golongan pelarian ini dibayar serendah AS$7 sehari bergantung kepada majikan.

Upah rendah kepada golongan pelarian ini dipercayai berpunca status mereka yang bekerja secara haram kerana masing-masing tiada permit serta terdedah kepada serbuan pihak berkuasa.

Pelarian yang juga bapa kepada tiga anak, Ahmad Istawe, 38, berkata beliau bekerja sebagai buruh menyiapkan rumah dengan bayaran upah harian AS$10.

Beliau yang turut menyara ibunya yang sudah uzur dan tinggal bersama dalam khemahnya, perlu membayar sewa tapak untuk khemah dan bekalan elektrik sebanyak AS$60 sebulan.

“Secara purata, saya mampu mendapatkan kira-kira AS$200 sebulan, jadi terpaksa mengikat perut demi meneruskan kehidupan di sini.

“Sepanjang musim sejuk ini, pekerjaan sebagai buruh amat kurang kerana pekerja tempatan lebih diutamakan, jadi kami terpaksa mengharapkan simpati pihak luar, terutama NGO yang datang agihkan bantuan,” katanya yang menerima sumbangan 20 liter minyak tanah bernilai kira-kira AS$15 yang mampu bertahan selama dua minggu jika digunakan secara berjimat.

Bekalan air bersih

Ahmad berkata, untuk bekalan air bersih bagi tujuan masakan, mereka bernasib baik kerana setiap minggu sebanyak 1,000 liter dibekalkan oleh UNHCR menerusi tangki statik yang ditempatkan di kem yang didiaminya.

Dalam operasi agihan bantuan di Arsal kelmarin, hanya tiga sukarelawan Aman Palestin, iaitu penulis dan Ketua Misi, Anas Abdul Wahab serta petugasnya, Abu Huzaifah, dibenarkan ke sana oleh pihak berkuasa tempatan, susulan aduan penduduk tempatan yang tidak senang melihat kehadiran NGO antarabangsa menumpukan bantuan kepada pelarian berbanding penduduk tempatan yang didakwa turut memerlukan. Sebaik tiba di Arsal jam 1 tengah hari, kami bergegas melaksanakan agihan dan serahan kepada setiap kem ditetapkan yang menempatkan di antara 20 hingga 60 keluarga kerana kem ini dibina atas tanah persendirian milik penduduk tempatan Lubnan.

Walaupun jumlah keluarga pelarian kecil, di sesetengah lokasi, kami terpaksa mendaki bukit dilitupi salji dan laluan becak setinggi lebih 200 kaki bagi menyerahkan sumbangan kepada warga emas pelarian di khemah mereka kerana masing-masing tidak mampu turun mengambilnya di lokasi agihan.

Memang memenatkan mendaki bukit sambil menjinjing dua tong minyak tanah berkapasiti 20 liter setiap satu, namun itu antara tugasan sebagai sukarelawan yang dipilih menyertai Program Sukarelawan Misi Bantuan Musim Sejuk di Lembah Beqaa ini.

Penulis turut membantu agihan gula-gula kepada anak-anak pelarian ketika mengunjungi Arsal untuk kali kedua. - Foto Ismail Mat
Penulis turut membantu agihan gula-gula kepada anak-anak pelarian ketika mengunjungi Arsal untuk kali kedua. - Foto Ismail Mat

Musim sejuk sehingga Mac

Anas berkata, dalam tempoh seminggu lagi berada di Lembah Beqaa, kami akan kembali lagi ke Arsal untuk mengagihkan bantuan kepada pelarian yang memerlukan bagi mengharungi musim sejuk yang akan berterusan sehingga Mac.

Beliau berkata, kehadiran sukarelawan anak muda lelaki dan wanita untuk mengharungi pengalaman hidup dalam kem pelarian ketika musim sejuk ini adalah untuk membolehkan ia dikongsi bersama masyarakat di Malaysia menerusi program yang dianjurkan Aman Palestin apabila pulang ke tanah air kelak.

“Pembabitan sukarelawan dalam usaha mengagihkan bantuan dan program sekitar kem pelarian juga bukti semua sumbangan rakyat Malaysia yang dibuat menerusi Aman Palestin sampai kepada mereka yang berhak,” katanya.

Ikuti laporan selanjutnya dalam akhbar ini esok.

Sumbangan untuk Program Bantuan Musim Sejuk kepada pelarian Syria boleh dibuat menerusi akaun Maybank Aman Palestin 562263010787 atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi www.amanpalestin.net.

Sukarelawan Aman Palestin termasuk penulis membantu mengagihkan bantuan minyak tanah untuk kegunaan alat pemanas udara setiap keluarga pelarian kem yang dikunjungi di Arsal. - Foto Ikhwan Munir
Sukarelawan Aman Palestin termasuk penulis membantu mengagihkan bantuan minyak tanah untuk kegunaan alat pemanas udara setiap keluarga pelarian kem yang dikunjungi di Arsal. - Foto Ikhwan Munir
Berita Harian X