Selasa, 22 Januari 2019 | 6:39pm
Khemah pelarian dibina atas kawasan berbukit sekitar Arsal masih diselubungi salji yang sedang mencair.
Khemah pelarian dibina atas kawasan berbukit sekitar Arsal masih diselubungi salji yang sedang mencair.

Bantuan RM130 tampung hidup lima beranak dua minggu

LEMBAH BEQAA (LUBNAN): Kehidupan serba kekurangan keluarga pelarian dalam kem sekitar Lembah Beqaa di sini, menyebabkan masing-masing perlu berjimat cermat demi kelangsungan hidup sepanjang musim sejuk ekstrem yang sedang ditempuh ketika ini.

Cuaca sejuk sehingga mencecah -10 darjah Celsius pada waktu malam, khususnya di kawasan Arsal, utara Lembah Beqaa, membuatkan keluarga pelarian tertekan mengharungi kehidupan harian.

Musim sejuk yang ditempuh ketika ini bermula sejak akhir Disember lalu, akan berterusan sehingga Mac nanti. Di kawasan Arsal, salji lebat mampu mencecah satu meter di luar khemah.

Ketika musim sejuk ini, pekerjaan di tapak binaan dan ladang yang terhad, membuatkan kebanyakan keluarga terpaksa bergantung kepada bantuan luar daripada pelbagai pihak bersimpati.

Menyedari keperluan pelarian, Aman Palestin dan URDA menggerakkan kami sebagai sukarelawan mendekati kehidupan mereka di kawasan terbabit, yang dipisahkan dengan banjaran gunung yang menjadi sempadan Lubnan dengan Syria.

Secara keseluruhan, Lubnan menempatkan kira-kira 1.4 juta pelarian Syria dengan kira-kira 60 peratus daripada mereka mendiami kira-kira 1,000 kem sekitar Lembah Beqaa termasuk lebih 100 di sekitar Arsal.

Dari Kem Al-Awdah yang penulis diami, kami menaiki bas selama dua jam menuju Arsal, menempuh perjalanan sejauh 100 kilometer kerana laluan tidak sempurna serta kawasan gunung ganang yang masih dilitupi salji yang mula mencair ekoran cuaca cerah.

Agihan minyak tanah diteruskan oleh Aman Palestin membabitkan tujuh kem pelarian sekitar Arsal.
Agihan minyak tanah diteruskan oleh Aman Palestin membabitkan tujuh kem pelarian sekitar Arsal.

Binaan khemah pelarian sekitar Arsal banyak dibina berhampiran kediaman penduduk dan pengusaha tempatan yang tersergam indah.
Binaan khemah pelarian sekitar Arsal banyak dibina berhampiran kediaman penduduk dan pengusaha tempatan yang tersergam indah.

Di Arsal, setiap kotak makanan bernilai AS$30 (RM130) dan 20 liter minyak tanah bernilai AS$15 (RM65) yang kami agihkan, mampu menjadi bekalan makanan dan bahan bakar kepada setiap keluarga pelarian seramai lima orang bertahan selama dua minggu.

Setiap kotak makanan seberat kira-kira 25 kilogram itu berisi beras, gula, garam, kekacang, spaghetti, ikan dalam tin, minyak masak, minyak sapi serta puri tomato.

Ibu kepada empat anak, Alia Aisyah Abu Musea, 35, menyifatkan bantuan yang diterima itu amat bermakna buat mereka untuk mengharungi musim sejuk melampau ketika ini.

"Bantuan ini walaupun tidak banyak tetapi cukup untuk keluarga saya bertahan bagi tempoh dua minggu akan datang, sementara suami saya berusaha mencari kerja.

"Dalam musim sejuk ini, tidak banyak kerja sebagai buruh kasar yang ada, jadi susah untuk suami mencari rezeki, " katanya.

Pelarian sekitar Arsal mendiami khemah yang dibina di kawasan berbukit dan sesetengahnya atas tapak binaan separa siap milik penduduk tempatan yang perlu disewa pada kadar AS$30 hingga AS$50 sebulan.

Walaupun berada dalam wilayah sama, namun cuaca sejuk sekitar Arsal lebih ekstrem kerana berubah dengan pantas sebelah petang hingga malam.

Kediaman dan premis besar tersergam di sebalik kawasan khemah pelarian di sekitar Arsal adalah milik penduduk dan pengusaha tempatan yang banyak terbabit dalam aktiviti kuari marmar.
Kediaman dan premis besar tersergam di sebalik kawasan khemah pelarian di sekitar Arsal adalah milik penduduk dan pengusaha tempatan yang banyak terbabit dalam aktiviti kuari marmar.

Di Arsal, cuaca cerah pada suhu 4 darjah celsius ketika kami sampai sekitar jam 1 tengah hari, menurun kepada -4 ketika selesai tugas mengagihkan bantuan kepada hampir 500 keluarga kira-kira jam 6.30 petang, membuatkan semua sukarelawan bergegas menaiki bas untuk mengelak kesejukan walaupun masing-masing sudah berjaket tebal.

Kebanyakan pelarian pula berkurung dalam khemah mengelilingi pemanas udara bagi mengelak kesejukan suhu melampau yang mampu menurun kepada -10 darjah Celsius.

Di sebalik kekurangan hidup mereka, pelarian Syria yang dikunjungi cukup meraikan tetamu apabila sanggup menyediakan minuman teh panas serta berkongsi manisan hingga membuatkan kami terasa serba salah kerana sedar anak-anak mereka lebih memerlukan.

Malah ketika malam kedua di kem pelarian, ada wanita warga emas mengajak sukarelawan menikmati makan malam di khemahnya dengan hidangan ringkas seperti kobis goreng yang dimakan dengan roti.

Dalam cahaya samar lampu dalam khemah itu membuatkan ada sukarelawan menyangka hirisan kobis yang dilihat adalah daging sehingga merasainya sayuran terbabit di dalam mulut.

Penulis turut membantu agihan gula-gula kepada anak-anak pelarian ketika mengunjungi Arsal untuk kali kedua.
Penulis turut membantu agihan gula-gula kepada anak-anak pelarian ketika mengunjungi Arsal untuk kali kedua.

Anas Abdul Wahab menyerahkan sumbangan minyak tanah kepada dua beradik yang tampil mendapatkan bantuan itu ketika agihan di Arsal.
Anas Abdul Wahab menyerahkan sumbangan minyak tanah kepada dua beradik yang tampil mendapatkan bantuan itu ketika agihan di Arsal.

Ketua Misi Aman Palestin, Anas Abdul Wahab, berkata pihaknya berharap lebih ramai rakyat Malaysia tampil menyumbang menerusi pihaknya untuk disalurkan kepada pelarian yang memerlukan.

Orang ramai yang mahu menyumbang bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria menerusi akaun Maybank Aman Palestin 562263010787 atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi www.amanpalestin.net.

Berita Harian X