Ahad, 20 Januari 2019 | 12:14pm

Pelarian jadi sasaran tuan tanah kaut untung

KESEMPITAN hidup pelarian Syria sejak melarikan diri daripada konflik negara asal, umpama lubuk rezeki yang mudah dan mewah kepada segelintir penduduk tempatan di Lembah Beqaa, yang memiliki tanah.

Semua pelarian yang berlindung di Lubnan memerlukan tempat tinggal demi kelangsungan hidup bersama keluarga masing-masing.

Selain mendiami kem pelarian yang dibina agensi pelarian UNHCR di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ada pelarian terpaksa mendiami khemah dibina atas tanah milik persendirian.

Berbanding kem diuruskan UNHCR dan NGO seperti Union of Relief and Development Association (URDA), pelarian yang mendiami kem di tanah persendirian berdepan pelbagai bayaran yang perlu dilunaskan.

Situasi itu disedari penulis hasil temu bual bersama keluarga pelarian dan petugas NGO, ketika keluar meneruskan agihan roti untuk kali ketiga kepada penghuni lapan kem di tanah persendirian dari petang hingga malam kelmarin.

Bagi penempatan dalam kem kendalian NGO seperti URDA, iaitu Kem Al-Awdah dan Yasimin, penghuninya tidak perlu membayar sewa tapak, kecuali kos untuk bekalan air bersih sepanjang masa dan elektrik, iaitu AS$30 (RM123) sebulan.

Malah, setiap keluarga pelarian di situ juga menerima kemudahan khemah atau kabin penginapan bernilai AS$4,000 (RM16,450) hasil sumbangan masyarakat antarabangsa serta bantuan barang makanan dan keperluan bahan bakar serta perubatan bernilai AS$200 (RM823) hingga AS$300 (RM1,234) sebulan.

Situasi itu nyata berbeza dengan kem pelarian yang dibina di tanah persendirian, dikenakan bayaran sewa tapak antara AS$50 (RM206) hingga AS$100 (RM411) sebulan.

Penempatan sesak

Pemilik tanah seluas satu ekar atau 0.4 hektar mampu memuatkan hingga lebih 150 khemah pelarian, yang disusun bersesak dengan lorong selebar satu meter.

Khemah kediaman mereka pula dibina sendiri keluarga pelarian menggunakan kanvas serta bahan kitar semula, dengan kos antara AS$500 (RM2,056) hingga AS$2,000 (RM8,225) seunit.

Untuk menikmati kemudahan elektrik janaan generator yang dibekalkan lima jam sehari dan bekalan air bersih, pelarian dikenakan antara AS$60 (RM247) hingga AS$100 (RM411) sebulan.

Di kebanyakan lokasi kem sekitar Lembah Beqaa, pemilik tanah mempunyai kedai atau kediaman di laluan masuk.

Walaupun sudah menyewa tapak dan membayar untuk kemudahan asas, penulis melihat sendiri ada pemilik tanah sanggup menghalang bantuan disampaikan kepada pelarian di kawasan mereka.

Situasi itu ditempuh penulis bersama rakan sukarelawan dan kakitangan URDA di Kem Ziyad, apabila kami sepatutnya mengagihkan 120 bungkusan roti untuk manfaat 60 keluarga pelarian di situ.

Sejurus lori bersama muatan sampai ke situ, tiba-tiba pemilik tanah enggan membenarkan kami mengagihkan bantuan sehingga Koordinator Program Pembangunan URDA Beqaa, Baraa Abu Nouh, terpaksa berbincang.

Hasil perbincangan, kami dimaklumkan hanya dibenar mengedarkan 10 bungkusan roti kepada lima keluarga bagi tujuan bergambar.

Ini ekoran kedai runcit pemilik tanah itu masih mempunyai 100 paket roti belum terjual, menyebabkan beliau bimbang bekalannya tidak dibeli pelarian.

Satu paket dengan tujuh keping roti yang diagihkan kami hanya berharga 2,000 Pound Lubnan (RM5.60), dengan setiap keluarga sepatutnya mendapat dua paket.

Saya yang tidak senang dengan cadangan supaya hanya lima keluarga diberikan roti bagi tujuan bergambar, lantas menyatakan kepada Baraa supaya membatalkan agihan kerana tindakan itu tidak sesuai dan tidak adil kepada ramai keluarga pelarian yang sedang menunggu sumbangan.

Meskipun beredar dari situ pada petang, bekalan roti sumbangan Aman Palestin yang kami agihkan tetap dihantar untuk penghuni kem pelarian itu, lewat malam kelmarin.

Baraa mengakui pemilik tanah mampu meraih keuntungan mudah setiap bulan daripada keluarga pelarian yang dihimpit kesusahan itu, hakikatnya terpaksa bersusah payah mencari pekerjaan.

Pelarian, Muhammad Saef, 25, yang juga bapa empat anak, mendiami kem Hikmah sejak empat tahun lalu, mendakwa melakukan pelbagai pekerjaan rencam demi meraih AS$300 (RM1,234) sebulan.

Bayar sewa RM2,468 setahun

Menurut Muhammad, beliau perlu membayar sewa tapak khemah yang didiami keluarganya AS$600 (RM2,468) setahun, di samping AS$60 (RM247) sebulan untuk api dan air.

“Kami selamat daripada konflik di negara asal, namun tetap ada beban tersendiri di sini kerana pelbagai bayaran perlu dibuat.

“Walau berapa yang dikenakan, kami tetap kena usaha bayar kerana keluarga perlukan tempat berlindung, apatah lagi dalam musim sejuk ini,” katanya kepada penulis ketika bertanya khabar keluarganya selepas menyerahkan paket roti, malam kelmarin.

Tinjauan saya mendapati, kem pelarian di tanah pemilik tempatan juga terdedah kepada bah kerana dibina bersebelahan ladang gandum yang sering ditenggelami banjir kilat akibat hujan lebat, disebabkan sistem peparitan tidak sempurna.

Kutip sampah sekitar khemah

Selain mengagihkan roti, sambil meninjau kem pelarian di tanah persendirian, cuaca baik pada pagi Jumaat membolehkan sukarelawan Aman Palestin bergotong-royong mengutip sampah di sekitar kem pelaran Al-Awdah yang kami diami, sementara menanti solat Jumaat.

Cuaca cerah membolehkan kami melihat lebih ramai penduduk keluar khemah masing-masing, sambil menikmati sarapan dan teh bersama ahli keluarga serta jiran.

Melihat kami berusaha membersihkan kawasan dengan mengutip sampah, mereka turut mengajak sarapan dan minum teh bersama.

Namun, budaya gotong-royong membersihkan kawasan mungkin asing dalam kalangan pelarian di sini kerana tiada yang tampil menyertai usaha kami walaupun sampah jelas di merata tempat, terutama di belakang khemah atau kabin mereka.

Memulakan hari kelima seawal jam 3 pagi semalam, saya mula terasa kesan kesejukan yang mencecah -3 darjah Celsius di sini, apabila sudah dua kali mengalami pendarahan dalam hidung.

Pada masa sama, program kami dijangka berubah apabila dijadual ke Arsal, penempatan pelarian di kawasan bergunung yang ketika ini dilitupi salji tebal, berhampiran sempadan Lubnan-Syria.

SUKARELAWAN Aman Palestin menyerahkan sumbangan kepada pelarian pada waktu malam. - Foto Ismail Mat
SUKARELAWAN Aman Palestin menyerahkan sumbangan kepada pelarian pada waktu malam. - Foto Ismail Mat
Berita Harian X