Sabtu, 19 Januari 2019 | 12:35pm
Kanak-kanak lebih gemar berada di luar khemah walaupun dalam cuaca sejuk melampau.
Kanak-kanak lebih gemar berada di luar khemah walaupun dalam cuaca sejuk melampau.

Anak pelarian Syria paling tanggung azab

Lembah Beqaa, Lubnan: Di sebalik kegirangan pada wajah comel kanak-kanak yang mendekati sukarelawan, sebenarnya mereka adalah kelompok pelarian Syria paling malang kerana berdepan masa depan tidak menentu.

Ini kerana tiada pendidikan formal disediakan kepada mereka bagi membina kehidupan lebih baik pada masa depan.

Dalam kem pelarian Al-Awdah yang didiami penulis untuk kerja sukarelawan di sini, sebelum berpindah ke Arsal minggu depan, kanak-kanak adalah kelompok paling ramai kerana setiap pasangan pelarian mempunyai antara lima hingga 10 anak.

Jumlah ahli keluarga yang ramai membuatkan mereka bersesak dalam penempatan seluas kira-kira 200 kaki persegi.

Situasi itu membuatkan anak-anak ini lebih gemar berada di luar khemah atau kabin penempatan walaupun dalam cuaca sejuk yang ekstrim melanda Lembah Beqaa ketika ini.

Selain berkejaran sesama rakan sebaya sekitar kawasan khemah, di kem Al-Awdah antara lokasi tumpuan mereka adalah padang futsal yang dibina hasil sumbangan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, beberapa tahun lalu.

Kebanyakan anak-anak pelarian ini tidak bersekolah secara formal kerana tiada kemudahan itu di sini, kecuali sebuah tadika dibuka oleh pertubuhan bukan kerajaan yang terletak bersebelahan padang permainan itu.

Perlu belanja RM288 sebulan

Anak sulung kepada tujuh beradik, Samira Mutazem, 13, yang tinggal bersebelahan khemah penulis di kem ini, mengakui pelajaran sangat penting demi masa depan tetapi dia tidak mempunyai banyak pilihan.

Pelarian Syria yang bekerja dengan United Relief Development Association (URDA) yang juga bapa kepada enam anak, Muhannad Abu Saif, 40, berkata beliau perlu membelanjakan AS$70 atau RM288 sebulan sebagai tambang bas dua anak berusia tujuh dan lapan tahun ke sekolah.

“Sejak dua tahun lalu, kerajaan Lubnan mula membenarkan anak pelarian Syria belajar di sekolah kerajaan dengan syarat mempunyai dokumen sokongan UNICEF.

“Namun kos pengangkutan yang mahal menyebabkan ramai anak-anak pelarian tercicir persekolahan kerana kekangan kewangan keluarga, " katanya.

Tanpa pendidikan dan pengawasan keluarga yang rapi, mendedahkan anak-anak pelarian kepada gejala sosial termasuk merokok dalam kalangan kanak-kanak.

Petugas URDA, Alla Muhammad, mengakui tanpa pendidikan formal dan rasmi, sukar untuk mengubah masa depan keluarga pelarian Syria di Lubnan.

Kerja agihan roti berjalan lebih lancar.
Kerja agihan roti berjalan lebih lancar.

Harapkan bantuan

“Ketika ini golongan tua khususnya ketua keluarga hanya mampu bekerja sebagai buruh binaan atau ladang sayur secara tidak sah jika tiada majikan yang mahu mengambil mereka secara sah kerana perlu membayar levi kepada kerajaan.

“Keadaan itu membuatkan mereka terdedah kepada penindasan dan penganiayaan. Namun kerja kasar ini dapat meringankan beban keluarga masing-masing sambil mengharapkan bantuan.

“Tanpa pendidikan rasmi, bagaimana anak-anak mereka yang ramai untuk membina masa depan yang lebih baik, ini mendedahkan mereka kepada masalah sosial pada usia muda,” katanya.

Setiap kali berada di luar khemah, anggota sukarelawan yang disertai penulis, sering dikerumuni anak-anak pelarian yang mengharapkan sesuatu, cuma yang baiknya masing-masing tidak merebut apabila diberitahu barangan dibawa bukan untuk mereka.

Dalam kalangan sukarelawan wanita, mereka turut mengambil peluang membersihkan kuku tangan anak-anak kecil yang kelihatan tidak diberi perhatian oleh keluarga masing-masing.

Kerja agihan roti lancar

Pada hari ketiga di kem pelarian kelmarin, cuaca yang cerah tanpa hujan membolehkan kerja agihan roti yang kami lakukan berjalan lebih lancar.

Berbanding agihan hari kedua yang dibuat dari khemah ke khemah, agihan kelmarin hanya dilakukan di luar kilang apabila setiap wakil keluarga pelarian tampil mengemukakan kupon roti yang sudah diagihkan oleh URDA.

Selain roti yang diagihkan setiap hari, URDA juga mengagihkan bantuan minyak tanah sebanyak 40 liter setiap dua minggu sekali, bagi kegunaan menghidupkan pemanas udara sepanjang musim sejuk ini.

Selain agihan roti di kilang mulai jam 1 tengah hari, kami berjalan kaki ke pusat agihan roti di kem Yasamin yang terletak kira-kira satu kilometer dari kem Al-Awdah.

Kelewatan bekalan baju dan selimut, menyebabkan kami terpaksa mengharungi kesejukan pada suhu negatif 2 darjah Celcius sambil berjalan kaki sejauh tiga kilometer, mengetuk pintu setiap kabin pelarian bagi mengesan anak kecil dari bayi hingga lima tahun untuk menyerahkan sumbangan.

Di setiap rumah, kami hanya mampu mengagak ukuran seluar yang sesuai untuk anak-anak terbabit berdasarkan fizikal mereka sebelum diberikan sumbangan itu.

Ada kalanya kami terpaksa beredar sambil memohon maaf kerana tidak dapat memberi seluar yang diharapkan mereka kerana tiada saiz yang sesuai.

Selesai agihan sekitar jam 9 malam, kami berdepan dugaan sejurus tiba di khemah penginapan, apabila mendapati bekalan air pula terputus.

Sehingga petang semalam, gangguan bekalan air belum pulih, manakala bekalan elektrik daripada generator pula hanya dinikmati selepas sebelum solat maghrib kira-kira jam 5.30 petang sebelum dihentikan mulai jam 11 malam.

Selepas bersarapan pagi semalam, kami meneruskan program pagi Jumaat di kem Al-Awdah dengan membersihkan sampah sarap.

Berita Harian X