Jumaat, 18 Januari 2019 | 10:00am

Hujan, salji lebat cabaran agih roti

LEMBAH BEQAA (Lubnan): Hujan dan salji lebat dialami lima kem pelarian sekitar Lembah Beqaa di sini petang semalam waktu tempatan, bukan penghalang kepada sukarelawan rakyat Malaysia untuk meneruskan usaha mengagihkan sumbangan roti yang dihasilkan mereka pada paginya.

Bermula jam 3 hingga 5.30 petang semalam, kumpulan sukarelawan Aman Palestin disertai penulis, mengharungi suasana hujan dan salji lebat sambil mengetuk pintu khemah atau kabin kediaman keluarga pelarian, bagi menyerahkan bungkusan roti yang menjadi hidangan makan malam mereka.

Usaha menghantar roti ke kediaman setiap keluarga pelarian terpaksa dilakukan, kerana kebanyakannya berlindung dalam khemah atau kabin masing-masing. Ia susulan cuaca sejuk dan hujan, menyukarkan mereka keluar mengambil bekalan dari lori yang menghantarnya.

Lazimnya jika cuaca baik, pelarian yang memerlukan roti hanya menunggu ketibaan lori, sebelum pemandu dan kelindan melakukan agihan di pintu masuk kem.

Meskipun kebasahan dan menahan kesejukan ekstrem, penulis bersama anggota sukarelawan Aman Palestin berjaya mengagihkan 1,200 bungkusan, yang setiap satu mengandungi tujuh keping roti kepada keluarga pelarian.

Setiap pelarian yang mempunyai lima ahli keluarga, diberikan dua bungkusan roti biasanya dimakan bersama sayur-sayuran atau jem.

Walaupun teruja dengan persekitaran salji, cuaca buruk luar jangka membuatkan hampir semua sukarelawan kuyup, kerana pakaian musim sejuk dikenakan tidak mampu bertahan.

Hujan dan salji yang mencair menyebabkan laluan menuju setiap kem pelarian becak teruk, berikutan tiada sistem perparitan.

Penulis turut membantu menampal pelekat sumbangan pada roti yang dihasilkan di kilang, sebelum proses pembungkusan dan penghantaran untuk agihan di sekitar Lembah Beqaa. - NSTP/Ismail Mat
Penulis turut membantu menampal pelekat sumbangan pada roti yang dihasilkan di kilang, sebelum proses pembungkusan dan penghantaran untuk agihan di sekitar Lembah Beqaa. - NSTP/Ismail Mat

Lori digunakan untuk mengangkut roti ke kawasan kem pelarian sekitar Lembah Beqaa. - NSTP/Ismail Mat
Lori digunakan untuk mengangkut roti ke kawasan kem pelarian sekitar Lembah Beqaa. - NSTP/Ismail Mat

Air sungai melimpah

Malah, kem terakhir yang dikunjungi petang semalam, menyaksikan ada penghuni terpaksa berpindah ke lokasi lebih selamat, kerana anak sungai berdekatan mula melimpah ke sebahagian khemah penempatan.

Pagi semalam, penulis bersama rakan sukarelawan memulakan hari pertama di kem Al-Awdah dengan bergegas ke kilang roti milik pertubuhan bukan kerajaan tempatan, Union of Relief and Development Association (URDA), terletak dalam kem pelarian Al-Awdah ini untuk membantu kerja penghasilan roti.

Kilang separa automatik itu berfungsi dengan tujuh pekerja membabitkan pelarian Syria, menghasilkan roti yang menjadi sebahagian makanan ruji pelarian di Lembah Beqaa.

Kami diberi penerangan mengenai operasi kilang roti berkenaan oleh Pengurus URDA Pejabat Beqaa, Omar Jannoun dan Koordinator Program Pembangunan URDA Beqaa, Baraa Abu Nouh.

Pengurus URDA Pejabat Beqaa, Omar Jannoun. - NSTP/Ismail Mat
Pengurus URDA Pejabat Beqaa, Omar Jannoun. - NSTP/Ismail Mat

Omar berkata, kilang berkenaan berupaya menghasilkan 9,000 paket roti sehari, namun kekangan kewangan kerana operasinya bergantung kepada sumbangan dana dan derma sepenuhnya, menyebabkan mereka hanya menghasilkan 1,200 hingga 1,500 paket.

Katanya, mereka tidak mampu meningkatkan kadar penghasilan roti kilang terbabit kerana tidak diberi lesen menjual roti kepada penduduk tempatan Lubnan, untuk meraih keuntungan bagi meningkatkan bantuan kepada pelarian.

“Operasi kilang ini menggunakan dana hasil derma pelbagai pihak. Kami membelanjakan kira-kira AS$700 (RM2,877) untuk bahan mentah seperti tepung gandum dan yis, bagi memproses 1,200 paket roti setiap hari.

“Roti yang dihasilkan sebelah pagi perlu diagihkan petang yang sama, demi memastikan kesegarannya,” katanya.

Tumpuan kerja sukarelawan di kilang yang beroperasi sejak 2014 ini lebih kepada aspek pembungkusan kerana dijalankan secara manual, berbanding komponen lain menggunakan mesin termasuk menguli doh. Proses penyediaan 1,200 paket roti itu mengambil masa lima jam setiap hari.

Sukarelawan Aman Palestin membantu mengagihkan roti yang dihasilkan kepada keluarga pelarian pada sebelah petang. - NSTP/Ismail Mat
Sukarelawan Aman Palestin membantu mengagihkan roti yang dihasilkan kepada keluarga pelarian pada sebelah petang. - NSTP/Ismail Mat

Sukarelawan Aman Palestin membantu mengagihkan paket roti di Lembah Beqaa. - NSTP/Ismail Mat
Sukarelawan Aman Palestin membantu mengagihkan paket roti di Lembah Beqaa. - NSTP/Ismail Mat

Aman Palestin sumbang dana

Sepanjang dua minggu bertugas sebagai sukarelawan di sini, Aman Palestin turut menyumbang dana penghasilan roti selama tiga hari termasuk semalam, maka kami perlu kembali ke kilang itu selepas ini.

Sementara itu, cuaca buruk berterusan sepanjang malam tadi di Lembah Beqaa, malah kawasan kem pelarian Al-Awdah yang didiami penulis juga hujan lebat dan salji, apabila suhu menurun sehingga sifar darjah Celsius.

Lewat petang semalam, ketika kembali daripada mengagihkan sumbangan, bahagian hadapan khemah kediaman penulis dipenuhi hujan bertakung, manakala bumbung pula bocor.

Namun, lebih membimbangkan kami ialah capaian internet turut terganggu kerana cuaca buruk.

Untuk menghantar gambar, rakaman video dan artikel ini, penulis terpaksa keluar mengesan capaian liputan telefon bimbit di kawasan lapang sekitar kem pelarian, pada jam 4 pagi dalam keadaan hujan dan kesejukan.

Pelarian Syria yang bekerja di kilang roti memberi penerangan mengenai proses penghasilan makanan itu. - NSTP/Ismail Mat
Pelarian Syria yang bekerja di kilang roti memberi penerangan mengenai proses penghasilan makanan itu. - NSTP/Ismail Mat
Sukarelawan Aman Palestin mengagihkan bantuan roti selepas membungkusnya di kilang. - NSTP/Ismail Mat
Sukarelawan Aman Palestin mengagihkan bantuan roti selepas membungkusnya di kilang. - NSTP/Ismail Mat
Berita Harian X