Jumaat, 18 Januari 2019 | 9:19am
Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan media selepas hadir Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga Mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio. Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin (kiri). - Foto BERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan media selepas hadir Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga Mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio. Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin (kiri). - Foto BERNAMA

Malaysia boleh jadi model kepada negara Afrika

DAKAR, Senegal: Hubungan Malaysia dengan negara Afrika yang kurang diberi perhatian sejak hampir 15 tahun lalu perlu dirapatkan semula, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ini kerana negara di Afrika mempunyai potensi besar dalam bidang perdagangan dan pelaburan yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat dari Malaysia.

Katanya, Senegal serta negara Afrika lain sudah maju dan ramai pelabur dari Eropah, China dan Turki menunjukkan minat ke atas benua itu dengan mengadakan hubungan perdagangan dan pelaburan.

"Ini menunjukkan Arika mempunyai potensi tetapi kita (syarikat Malaysia) mesti mengenal pasti keperluan di benua itu.

"Kita juga perlu kenal pasti barangan dari Afrika yang boleh diimport dan barangan kita yang sesuai untuk dieksport," katanya pada sidang media selepas menjadi panel pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ketiga (ICEA-III) di sini, malam tadi.

Perdana Menteri diminta mengulas mesyuarat dua hala dengan Presiden Senegal, Macky Sall, sempena lawatan kerja bagi menghadiri persidangan itu di Istana Presiden.

Dr Mahathir mengakui beliau mahu melihat syarikat Malaysia berdagang dan melabur di negara Afrika bagi meluaskan pasaran produk dan pelaburan masing-masing.

"Adalah perlu orang kita (syarikat) serta perwakilan Malaysia (di luar negara) mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh diterokai," katanya.

Mengenai pertemuan dengan ketua kerajaan negara Afrika pada ICEA-III, Dr Mahathir berkata walaupun pemimpin yang beliau kenal dulu sudah tidak lagi memimpin, pemimpin baharu mengetahui mengenai Malaysia.

"...sebab itu saya dijemput (menyertai ICEA) kerana mereka masih memandang Malaysia sebagai contoh...satu model yang baik, yang mereka ingin belajar daripada Malaysia," katanya.

Ditanya kemungkinan menghidupkan semula persidangan yang diadakan pada zaman pentadbiran beliau sebelum ini seperti Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dan Dialog Antarabangsa Afrika Selatan (SAID), Dr Mahathir berkata Malaysia boleh berbuat demikian jika mereka berminat.

Katanya, pentas seperti LID dan Kerjasama Selatan-Selatan mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

"Namun, ketika ini, kita menumpukan untuk memperbaiki keadaan dalam negara dan tiada banyak masa untuk membangunkan semua badan itu," katanya.

Terdahulu, ketika menjadi panel perbincangan pada sesi kedua ICEA-III, Perdana Menteri berkata kerajaan ditubuhkan bukan untuk meraih kekayaan dan hasil yang diraih sepatutnya disumbangkan semula kepada rakyat.

Katanya, kekayaan boleh dijana menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta.

"Jika hasil bumi negara itu penuh dengan emas sekalipun, kerajaan perlu menggali untuk mendapatkannya dan itu adalah fungsi sektor perniagaan.

"Kerajaan tidak cekap dalam menjalankan perniagaan kerana penubuhan kerajaan bukan bertujuan meraih keuntungan untuk diri sendiri, sebaliknya disalurkan semula kepada rakyat. Kerajaan akan gagal jika cuba ambil alih fungsi perniagaan sektor swasta," katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi pandangan berkaitan dasar Malaysia yang menggalakkan penyertaan swasta dan pada masa sama, mengenakan cukai korporat ke atas mereka, sekali gus dapat menjana hasil kepada kerajaan.

"Lebih baik kerajaan membenarkan swasta menjalankan perniagaan kerana ia akan membuka peluang pekerjaan, selain mereka menjana keuntungan dan beberapa peratus daripada keuntungan ini menjadi milik kerajaan," katanya.

Berita Harian X