Khamis, 17 Januari 2019 | 1:39pm
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Asyraf Hamzah
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Asyraf Hamzah

Dr Mahathir tumpuan persidangan pembangunan Afrika

DAKAR, Senegal: Penampilan Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menjadi fokus lebih 1,000 peserta Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ke-3 (ICEA-III) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD), Diamniadio di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang diberi penghormatan oleh kerajaan Senegal untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan membangunkan Malaysia, adalah satu-satunya ketua kerajaan dari luar Afrika dijemput menyertai persidangan itu.

Persidangan bertemakan "Kemunculan, Sektor Swasta dan Ketrangkuman" yang berlangsung selama tiga hari, akan dirasmikan Presiden Senegal, Macky Sall, pada jam 10 pagi ini waktu tempatan (jam 6 petang di Malaysia).

Selepas majlis perasmian itu, Dr Mahathir akan menyertai empat sesi dialog, bermula dengan panel perbincangan tahap tinggi bersama empat ketua negara Afrika.Mereka ialah Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta; Presiden Burkina Faso, Roch Marc Christian Kabore; Presiden Rwanda, Paul Kagame dan Presiden Ivory Coast, Alassane Ovattara.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menjadi panel sesi dialog berkaitan menggalakkan sektor swasta sebagai enjin kemunculan.

Ahli panel lain ialah Ovattara; Presiden Bank Pembangunan Afrika, Dr Akinwumi Adesina; Presiden Kumpulan Dangote dari Nigeria, Aliko Dangote dan Ketua Pegawai Eksekutif Ethiopian Arlines, Tewolde Gebremariam.

Pada sesi ketiga, Dr Mahathir akan menjadi panel perbincangan berkaitan ketrangkuman sebagai jaminan kemampanan dinamik bagi kemunculan. Ahli panel yang lain ialah Sall; Christian Kabore; Ketua Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Achim Steiner dan pemenang nobel keamanan, Muhammad Yunus.

Pada sesi dialog terakhir yang akan membincangkan berkaitan perkongsian awam swasta bagi kemunculan, Perdana Menteri akan menjadi panel bersama Kenyatta; Naib Presiden Bank Dunia, Hafez Ghanem; Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Port World, Sultan Sulayem dan wakil Persatuan Kontraktor Turki, Yenigun.

Ini adalah julung kali Dr Mahathir menyertai persidangan dua tahun sekali yang diadakan sejak 2015, yang bertujuan memberi sokongan kepada pertumbuhan Afrika berikutan pemulihan ekonomi global selepas krisis 2016 menerusi pembangunan kapasiti bagi menyediakan dan melaksanakan pelan kemunculan, menggabung kepakaran serta mendokumentasikan amalan baik di benua ini.

Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang tiba di sini, jam 5.35 petang semalam, diberi penghormatan oleh Kerajaan Senegal apabila presiden republik itu menyambut ketibaan beliau di Lapangan Leopold Sedar Senghor.

Senegal banyak belajar daripada kejayaan Malaysia termasuk sedang membina pusat pentadbiran baharu di Diamniadio yang menjadikan Putrajaya sebagai model.

Berita Harian X