Isnin, 14 Januari 2019 | 1:10pm
TUN Dr Mahathir berucap di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pemisahan kaum tidak elok untuk negara - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui masih wujud pemisahan antara kaum di Malaysia, justeru ia perlu dicantumkan bagi memastikan negara dipacu dengan lebih maju pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata, walaupun setiap kaum masih mengekalkan budaya masing-masing, hidup bersama dan tiada rusuhan, pemisahan kaum yang wujud itu tidaklah baik dan selamat untuk negara.

“Kita dapati pada waktu ini, kaum-kaum di Malaysia belum lagi bersatu padu seperti yang diharapkan. Kita sedar betapa penting kerjasama antara kaum dan pentingnya untuk kita tidak merusuh sesama kaum.

“Negara pernah mengalami rusuhan kaum pada 1969 dan ia tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kita. Namun, kita mendapat banyak pelajaran daripada rusuhan kaum berkenaan,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan menteri dan timbalan menteri.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin negara akan dapat dibangunkan dengan lebih maju lagi sekiranya pemisahan antara kaum dapat diatasi dengan sebaiknya.

Dr Mahathir berkata, sejarah Malaysia berbeza dengan negara lain kerana hasil kepimpinan bijak pemimpin selepas merdeka membolehkan rakyat dari negara lain diberikan kerakyatan.

“Kita setuju mereka daripada keturunan lain diberi hak kerakyatan, malah usaha turut dibuat oleh parti politik untuk menentukan negara ditadbir dengan penyertaan semua kaum.

“Pada waktu kita mencapai kemerdekaan, pemimpin-pemimpin kaum bersetuju supaya mereka tidak bermusuh sesama lain, sebaliknya mereka mencantumkan diri mereka dan mendirikan kerajaan yang mewakili semua kaum.

“Sekarang kita warisi keadaan di mana negara kita adalah negara berbilang kaum. Pada waktu negara mencapai kemerdekaan, kita harapkan kita adalah bangsa yang bertutur satu bahasa, bersatu dan dapat hidup aman damai antara kita,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, usaha membangunkan negara tidak akan berjaya sekiranya soal kemiskinan pada semua kaum tidak diatasi.

“Soal kemiskinan tidak harus tertumpu kepada satu kaum saja dan menjadi tugas kita untuk mengagih kekayaan sama rata sehingga ia berada pada satu tahap yang boleh diterima semua masyarakat di negara ini.

“Tiada guna kita menganggap hak kita hanya terhad kepada mengundi atau memilih kerajaan saja jika kita tidak dapat menyamakan keadaan yang selesa dan tenang antara kaum. Kita tidak mahu terlihat kaya tapi sebaliknya kekayaan tidak diagihkan secara adil kepada semua kaum,” katanya,

Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau mahu setiap orang termasuk pemimpin, pegawai kerajaan dan ahli politik supaya memahami sejarah dan liku-liku bagaimana negara dibangunkan sehingga semua kaum dapat hidup dengan aman dan damai.

Dr Mahathir berkata, sejarah penting bagi menentukan cara bertindak dengan bijak dan sesiapa yang melupakan sejarah akan ‘didera’ dengan mengulangi kesilapan yang sama berkali-kali.

“Negara mencapai kemerdekaan tanpa rusuhan dan peperangan. Ini nikmat yang perlu dihargai.

“Oleh kerana kita mencapai kemerdekaan tanpa rusuhan dan peperangan, maka pemerintahan diambil alih oleh mereka yang terlatih dalam bidang pentadbiran.

“Kita biasa bekerja di bawah penjajah British dan tahu selok belok pentadbiran sebuah negara, sebab itu negara kita lebih cepat dibangunkan dan rakyat mendapat banyak nikmat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia juga tidak seperti negara-negara lain di mana penduduk asal yang menganggap mereka orang asal dan pribumi dilihat tidak senang dengan kaum lain yang dikatakan pendatang, justeru kaum lain itu dihalau keluar.

“Antara negara yang menghalau keluar kaum lain adalah Afrika, Tanzania dan Myanmar,”

Berita Harian X