Ahad, 13 Januari 2019 | 6:58pm
QUAZA Nizamuddin Hassan

Penternak digesa rebut peluang bekal 40,000 lembu sado menjelang 2020

KUALA TERENGGANU: Penternak lembu sado disaran merebut peluang menjadi pembekal daging lembu berkenaan bagi memenuhi sasaran permintaan 40,000 ekor lembu jenis itu menjelang tahun 2020.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan, berkata permintaan daging lembu sado kini amat tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa namun ketika ini hanya terdapat 22,000 lembu sado yang boleh membekalkan kira-kira 3,759 tan metrik daging atau memenuhi 23 peratus permintaan pasaran.

“Saya ingin tekankan di sini selain meningkatkan pendapatan penternak bidang ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan seperti terlibat dalam penjualan daging, jurusuntik bagi perkhidmatan permanian beradas di mana ketika ini sudah ada 125 orang yang boleh berkhidmat dalam bidang ini.

Selain itu di bidang menyediakan makanan serta bagaimana cara memotong daging untuk dipasarkan ke hotel-hotel dan sebagainya yang sebelum ini mereka (hotel) memperolehi dari luar negara seperti Australia dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Hab Pemadanan Lembu Sado negeri Terengganu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Tan Sri Halim Mohamad.

Sementara itu, Dr Azman berkata kerajaan negeri bersedia menjadi pemudah cara kepada penternak yang berminat dengan menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan juga pihak swasta supaya sasaran itu dapat dicapai sekali gus membantu perkembangan industri ke tahap yang boleh dibanggakan.

“Kerajaan negeri ada bahagian-bahagian yang akan disumbangkan terutama dari segi tanah, tapak, modal manakala pihak swasta akan mencari pasaran dengan jaringan perniagaan ke peringkat luar negara,” katanya.

Ketika ini katanya terdapat 300 pengusaha lembu sado di negeri ini yang hanya mampu menyumbangkan 30 peratus bekalan daging bagi keperluan tempatan.

Justeru, bagi meningkatkan pengeluaran hasil pengeluaran daging lembu sado, kerajaan negeri tahun ini akan mula mengagihkan induk lembu sado kepada 10 orang penternak terpilih di lapan daerah negeri ini. – BERNAMA

Berita Harian X