Isnin, 7 Januari 2019 | 3:16pm
YAMANI Hafez Musa - Foto BERNAMA
YAMANI Hafez Musa - Foto BERNAMA

Selepas menghilang PRU-14, Yamani Hafez hilang keluar pintu belakang Parlimen

KUALA LUMPUR: Hampir 20 petugas media pulang hampa selepas dihalau beberapa pegawai Parlimen yang tidak membenarkan untuk mendapatkan reaksi Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa.

Petugas media yang ‘setia’ menunggu di luar Kamar Khas, tempat Yamani Hafez yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah, tiba-tiba didekati seorang pegawai Parlimen yang meminta wartawan dan jurukamera beredar.

Pegawai itu meminta petugas media beredar berikutan Ahli Parlimen Sipitang itu tidak mahu diganggu dengan sebarang soalan.

Bagaimanapun, petugas media tetap berada di luar Kamar Khas, menunggu kelibat Yamani Hafez.

Selepas itu, datang seorang polis bantuan tiba-tiba mengherdik ‘apa tunggu lagi, turun turun turun’ kepada petugas media yang sedang menunggu untuk mendapatkan maklumbalas Yamani Hafez yang dikatakan hilang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Keadaan di perkarangan Kamar Khas dan bilik makan kelihatan ‘dikawal ketat’ beberapa pegawai dan polis bantuan Parlimen untuk menghalang petugas media hampir dengan Yamuni Hafez.

Apa yang berlaku itu membuatkan petugas media tidak berpuas hati dengan layanan berkenaan walhal mereka mendapat jemputan oleh pihak Parlimen untuk membuat liputan.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah memberitahu, pihaknya tidak memberi sebarang arahan kepada pegawainya untuk meminta petugas media beredar.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada petugas media diatas apa yang berlaku.

Tambahan pula, tiada seorang pun pegawai kepada Yamani Hafez bertemu dengan petugas media untuk memaklumkan bahawa ‘bosnya’ tidak mahu diganggu.

Setelah dihalang, petugas media turun dan kekal menanti Yamani Hafiz di kawasan lobi dan ada beberapa yang tunggu di pintu masuk Parlimen.

Setelah hampir 45 minit menunggu, difahamkan Yamani Hafez secara senyap-senyap beredar menggunakan pintu belakang.

Terdahulu, Yamani Hafez mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sipitang di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, di Kamar Khas Parlimen kira-kira jam 10.04 pagi ini.

Dengan itu, beliau menjadi wakil rakyat terakhir mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Berita Harian X