Khamis, 3 Januari 2019 | 7:01pm

Majoriti sokong sistem apungan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 94 peratus responden tinjauan pandangan penentuan harga petrol dan diesel, mahu ia dilaksanakan secara sistem apungan.

Seramai 6,612 responden memberi pandangan mereka dalam tinjauan yang dijalankan menerusi Facebook dan Twitter BH.

Tinjauan pendapat yang dijalankan BH memberi tiga pilihan kepada pembaca, sama ada bersetuju dengan cadangan sistem apungan secara mingguan, bebas atau harga tetap.

Setakat jam 6 petang ini, seramai 6,247 daripada keseluruhan responden bersetuju penentuan harga dilaksanakan menerusi sistem apungan secara mingguan, manakala hanya enam peratus atau 365 responden mahu kerajaan menetapkan harga petrol dan diesel.

Daripada 6,247 responden itu, seramai 3,472 responden bersetuju dengan cadangan kerajaan menggunakan sistem apungan secara mingguan, manakala 2,775 responden mahu pelaksanaan sistem apungan secara bebas.

Polemik penentuan harga petrol dan diesel timbul selepas kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga kedua-dua bahan api itu seketika waktu sebelum memutuskan kaedah yang lebih baik.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dilaporkan berkata penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baharu ini.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, berpendapat kerajaan perlu membuka pasaran bagi syarikat pengeluar minyak menentukan harga petrol dan diesel sendiri.

Beliau bagaimanapun berkata, syarikat pengeluar minyak berkenaan mesti membandingkan harga minyak mentah dunia sebelum harga petrol dan diesel ditentukan di stesen minyak masing-masing.

Katanya, sistem sedemikian sudah pun dilaksanakan beberapa negara, antaranya di United Kingdom (UK) apabila stesen minyak di negara itu memaparkan harga yang berbeza supaya pengguna ada pilihan.

“Misalnya, PETRONAS dan Petron, masing-masing tentukan harga sendiri dan paparkan (harga) setiap hari dan membandingkannya dengan harga minyak mentah,” katanya ketika dihubungi BH.

Mengulas pelaksanaan kaedah itu dalam konteks Malaysia, beliau yang juga pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) berkata, isu dihadapi kini ialah sama ada petrol di negara ini bahan kawalan dan jika kerajaan memberi subsidi semula untuk petrol dan diesel.

Katanya, langkah membuka pasaran adalah mekanisme terbaik jika kerajaan tidak mahu memberi subsidi, manakala pemantauan perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan harga petrol dan diesel ditetapkan mengikut harga minyak mentah dunia.

Berita Harian X