Isnin, 17 Disember 2018 | 4:59pm

Telur ayam gred A,B,C antara 16 barang kawalan harga Hari Krismas

KUALA LUMPUR: Telur gred A, B dan C adalah antara 16 jenis barang yang disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Barang sempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan pelaksanaan skim itu akan berkuat kuasa selama lima hari bermula 23 Disember hingga 27 Disember iaitu dua hari sebelum Hari Krismas, pada hari perayaan dan dua selepas sambutan perayaan itu

Selain telur, antara barang yang disenaraikan termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, ayam Belanda import, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang, tomato, lada Benggala hijau, babi hidup, daging babi bahagian perut dan daging babi bahagian lemak.

Harga maksimum runcit bagi telur ayam gred A ditetapkan pada kadar 44 sen manakala gred B adalah 43 sen dan gred C 42 sen sebiji.

”Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian yang bertujuan memastikan harga yang ditentukan berpatutan dalam rantaian pengedaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

“KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga dari pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2018 dan pada bulan Januari hingga Disember berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh kementerian.

“Kita juga mengambil pandangan pelbagai agensi Kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barang itu,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Kementerian juga menegaskan harga barang bagi negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barang import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

“Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Bagi kesalahan menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 dan bagi syarikat mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barang harga terkawal, individu boleh di denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 manakala untuk syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.

Berita Harian X