Isnin, 17 Disember 2018 | 1:17pm
Harga telur ayam bagi setiap gred kembali diturunkan sebanyak dua sen selepas dipersetujui bersama Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM). - Foto hiasan

Harga telur ayam turun 2 sen semula - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan harga telur ayam yang mengalami kenaikan ketara baru-baru ini kembali stabil bermula hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata harga telur ayam daripada setiap gred akan kembali diturunkan sebanyak dua sen selepas dipersetujui bersama Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM) pada Jumaat lalu.

“Pengeluar telur ayam bersetuju untuk mengurangkan harga telur di peringkat ladang sebanyak dua sen bagi menstabilkan harga telur di pasaran.

“Ini juga bagi memastikan bekalan telur ayam di pasaran mencukupi menjelang musim perayaan ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kenaikan berkenaan berpunca daripada kematian ayam di beberapa ladang yang disyaki dijangkiti virus avian influenze H5 dan H7 (selsema burung).

“Ladang ayam yang berdepan masalah kematian ayam yang tinggi sebelum ini tidak dibenarkan menjual telur sehingga siasatan dan keputusan makmal mengesahkan tiada jangkitan penyakit.


Salahuddin pada sidang media selepas Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen. - NSTP/Eizairi Shamsudin

“Keadaan ini menyebabkan berlaku pengurangan bekalan telur tiga peratus, namun siasatan menunjukkan ladang ayam berkenaan bebas daripada jangkitan selsema burung seperti yang dilaporkan.

“Kematian ayam yang dilaporkan hanyalah berpunca daripada penyakit ayam yang sering menyerang haiwan berkenaan,” katanya.

Salahuddin berkata, kenaikan harga bahan mentah itu juga berpunca kepada kenaikan kadar tukaran wang asing pada November lalu.

“Ini memberi kesan kepada kenaikan bahan makanan ternakan yang diimport seterusnya meningkatkan kos pengeluaran telur dan harga naik sebanyak lima peratus,” katanya.

Berita Harian X