Selasa, 11 Disember 2018 | 5:37pm
SEKUMPULAN aktivis pelajar Gabungan Pembebasan Akademik yang ingin membuat bantahan dihalang oleh pegawai keselamatan. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
SEKUMPULAN aktivis pelajar Gabungan Pembebasan Akademik yang ingin membuat bantahan dihalang oleh pegawai keselamatan. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kumpulan mahasiswa cetus kecoh di lobi Parlimen

KUALA LUMPUR: Lobi Parlimen hari ini kecoh seketika apabila sekumpulan mahasiswa yang ingin membuat bantahan berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dihalang oleh pegawai keselamatan.

Kekecohan tercetus apabila beberapa mahasiswa mewakili Gabungan Pembebasan Akademik (GPA) cuba mengadakan sidang media di lobi.

Pegawai keselamatan bertugas bagaimanapun meminta kumpulan terbabit bersurai kerana hanya Ahli Parlimen dibenarkan membuat sidang media di lobi Parlimen.

Kumpulan berkenaan enggan berbuat demikian dan berlaku sedikit ketegangan sebelum seorang mahasiswa dipercayai jurucakap kumpulan itu diiring keluar oleh pegawai keselamatan.

Keadaan kembali terkawal apabila Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, bertemu mereka bagi mendengar keluhan mahasiswa terbabit.

Wakil mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Sharan Raj, berkata mereka menuntut supaya Seksyen 15 dan 16 yang membenarkan naib canselor membubarkan persatuan pelajar serta menghukum pelajar dimansuhkan.

“Kami sudah berjuang memenangkan parti kerajaan tetapi kami dilayan seperti ini,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila sebulat suara bersetuju pindaan AUKU 1971 yang membenarkan mahasiswa berpolitik.

Pindaan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam berpolitik.

Berita Harian X