Isnin, 10 Disember 2018 | 9:36am
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Jannah Kho
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Jannah Kho

Sarawak terus pertahan tanah NCR - Timbalan Ketua Menteri

BETONG: Sarawak tidak akan sesekali menyerahkan Kanun Tanah Negeri untuk disatukan dalam Kanun Tanah Negara demi kepentingan dan masa depan ‘Anak Sarawak’.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata undang-undang tanah di negeri ini jauh berbeza dengan Semenanjung dan tidak praktikal jika Kerajaan Pusat mahu membuat hanya satu kanun tanah di negara ini.

“Kita (Sarawak) mempunyai kanun tanah sendiri berdasarkan perlembagaan negeri dan ia tidak boleh diubah sesuka hati, termasuk untuk disatukan ke dalam Kanun Tanah Negara.

“Ini kerana isu tanah kita berbeza dengan negeri lain, lebih-lebih lagi kita mempunyai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) termasuk Pemakai Menoa dan Pulau Galau,” katanya ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Spaoh, di sini, semalam.

Kenyataan Uggah sebagai maklum balas terhadap cadangan seorang menteri Persekutuan kepadanya agar menyatukan Kanun Tanah Negeri dengan Kanun Tanah Negara yang disifatkan sebagai tidak munasabah.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak menegaskan adalah sangat penting untuk kuasa pemerintahan negeri ini dipegang oleh pemimpin tempatan agar hak dan kuasa Sarawak tidak terhakis disebabkan oleh campur tangan orang luar.

Beliau turut mengingatkan rakyat Sarawak agar jangan mempercayai dengan dakwaan yang kerap dikeluarkan dalam media sosial bahawa kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus merampas tanah penduduk pribumi.

Sebaliknya, Uggah menjelaskan tujuan kerajaan mengambil tanah sesetengah penduduk khususnya di pedalaman dan luar bandar bertujuan melaksanakan projek pembangunan yang besar demi manfaat penduduk setempat, selain turut dibayar pampasan yang adil.

“Dakwaan seperti itu hanya retorik pembangkang untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Saya berharap semua rakyat Sarawak bijak menilai dakwaan seperti itu dan mengesahkan dulu apa yang sebenarnya berlaku, tanpa terlalu taksub dengan kritikan terhadap kerajaan dan pemimpinnya.

“Ini kerana ada orang atau sesetengah pihak sanggup mereka-reka cerita demi kepentingan politik sendiri,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan kerja-kerja penyukatan perimeter ke atas tanah NCR apabila memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi tujuan berkenaan tahun depan.

“Penyukatan perimeter tanah NCR sangat penting bagi membolehkan kita mengeluarkan surat hak milik kepada pemilik, dan ini secara tidak langsung memberikan nilai yang tinggi ke atas tanah tersebut.

“Malah, semua ini kita lakukan secara percuma untuk rakyat walaupun ia menelan kos yang sangat besar,” katanya.

Berita Harian X