Jumaat, 7 Disember 2018 | 11:47pm
JOHAN (kiri) yang mewakili TV3, menerima Gold Creator Award daripada Carolyn Fu. - NSTP/Saddam Yusoff

TV3 terima Gold Creator Award

KUALA LUMPUR: Sistem Televisyen (M) Berhad (TV3) menerima Gold Creator Award daripada YouTube kerana berjaya mencatat lebih satu juta pengikut di laman sosial itu.

Anugerah itu disampaikan Pakar Penonton YouTube Asia Tenggara, Carolyn Fu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak pada majlis yang berlangsung di ibu negara, malam ini.

Turut hadir, Ketua Negara Google Malaysia, Marc Woo.

Mengulas anugerah itu, Johan berkata pihaknya berbangga kerana TV3 menjadi salah satu daripada 16 akaun pencipta di Malaysia yang dipilih tahun ini dan ia adalah hasil strategi kreatif stesen televisyen berkenaan.

Katanya, konsep yang digunakan iaitu bukan saja menggunakan saluran televisyen tetapi juga saluran YouTube nyata berjaya menarik ramai penonton.

“Konsep yang digunakan itu sejajar dengan misi Media Prima Berhad (MPB) sendiri iaitu ‘digital first’. Harapan kami penonton di saluran YouTube akan terus berkembang pada tahun hadapan.

"Jika melihat kepada kadar pertumbuhan tahun ini, ia sememangnya memberangsangkan, bukan hanya TV3 tetapi pelbagai saluran akaun lain di bawah MPB," katanya.

Pada majlis yang sama, tiga pencipta dan saluran lain iaitu pemain dram cilik, Nur Amira Syahira Azizul, 15; pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee serta Didi & Friends; Omar and Hana turut dipilih menerima penghargaan anugerah yang sama.

Mereka masing-masing memiliki pengikut melebihi satu juta di saluran YouTube.

Berita Harian X