Jumaat, 7 Disember 2018 | 3:18pm
GAMBAR fail, Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos. - Foto Hafiz Sohaimi

35,000 Baju Merah jangka sertai himpunan bantah ICERD esok

SUNGAI BESAR: Seramai 35,000 ahli Gerakan Baju Merah dijangka menyertai perhimpunan membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) esok.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata gerakan itu akan membawa imej berbeza berbanding perhimpunan lain yang pernah dianjurkan sebelum ini.

“Seperti sedia maklum, perhimpunan membantah pelaksanaan ICERD ini antara yang aman dan mendapat kebenaran pihak berkuasa.

“Tidak perlu kita melakukan protes demonstrasi, sebaliknya solidariti perhimpunan ummah mempertahankan Perlembagaan negara, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Himpunan Ummah Membantah ICERD Peringkat Parlimen Sungai Besar di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini, malam tadi.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak 61 tahun lalu dilihat membawa rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Mereka (kaum) bebas mencari rezeki tanpa sebarang halangan. Namun, sejak kebelakangan ini, beberapa isu dilihat cuba memecah belah perpaduan antara kaum selepas jatuhnya kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan Gerakan Baju Merah yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir sebagai tanda sokongan perhimpunan membantah ICERD.

“Selain itu, perhimpunan ini bakal menyaksikan kenalan dari kaum Cina dan India juga bersama menyertainya.

”Malah, saya difahamkan seramai 1,500 anak muda dari daerah ini (Sungai Besar) menyertai konvoi motosikal membantah ICERD,” katanya.

Jamal berkata, sesi pertemuan bersama PAS dan NGO melihat ahli berlainan ideologi politik ingin bersama menyertai perhimpunan berkenaan.

“Saya dimaklumkan ramai ahli PKR dan AMANAH dari daerah ini juga akan bersama menyertai saya dan rakan lain dalam perhimpunan esok,” katanya.

Berita Harian X