Rabu, 5 Disember 2018 | 9:46pm
MENTERI Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Singapura minta Malaysia henti 'ceroboh' perairan

KUALA LUMPUR: Malaysia diminta menghentikan peluasan pelabuhan Johor Bahru (JPL) yang didakwa menceroboh kawasan Waters Territory Singapura (STW) di Tuas.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Menteri Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berkata, JPL melampaui batas wilayah tuntutan laut wilayah Malaysia, seperti dinyatakan dalam peta Malaysia 1979 yang mana Singapura tidak pernah menerimanya.

Balakrishnan membangkitkan isu berkenaan menerusi sesi perbualan telefon bersama rakan sejawatnya, Datuk Saifuddin Abdullah, hari ini.

“Biarpun terdapat protes diplomatik Singapura, kita dapati ada gangguan provokatif oleh kapal Malaysia ke atas STW di Tuas.

“Terdapat keperluan mendesak supaya Malaysia menghentikan pencerobohan ini bagi mematuhi undang-undang antarabangsa untuk mengelakkan ketegangan yang semakin meningkat,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini turut memberi jaminan bahawa JPL tidak menceroboh perairan wilayah Singapura di Tuas.

Dr Mahathir berkata, Malaysia akan memastikan bahawa peluasan pelabuhan itu akan dilaksanakan di sempadan negara dan jarak dari sempadan itu boleh diukur untuk menentukan dakwaan yang dibuat oleh Singapura.

Sementara itu, Balakrishnan juga merujuk kepada perbincangan mengenai isu ruang udara antara Menteri Pengangkutan Wilayah Singapura, Khaw Boon Wan dan Menteri Pengangkutan, Anthony, Anthony Loke.

Balakrishnan menekankan bahawa Singapura menghormati kedaulatan Malaysia dan kepentingan kedua-dua negara untuk memastikan keselamatan penerbangan awam ke atas ruang udara di rantau ini.

“Sebarang cadangan yang dikemukakan harus dipastikan keselamatan dan kecekapan trafik udara awam tidak dikompromi dan sesuai dengan piawaian, proses serta prosedur Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Singapura dan Malaysia perlu terus membincangkan isu ini secara konstruktif dan menekankan kepentingan mengekalkan hubungan dua hala yang baik antara negara jiran dan pematuhan dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X