Ahad, 2 Disember 2018 | 4:22pm

Akta khas 'benteng' Islam, Melayu, raja

KUALA LUMPUR: Akta Menghina Islam dan Raja-Raja Melayu (AMIR) harus digubal bagi mengekang tindakan anasir yang cuba menggugat keharmonian negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Dr Ibrahim Ali, ketika menyuarakan harapan itu mencadangkan supaya penggubalan perundangan berkenaan dilaksanakan menerusi titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata akta baharu mirip seperti pelaksanaan di Thailand itu dicadangkan mempunyai dua bahagian, iaitu memperuntukkan tahanan tanpa bicara dan pendakwaan secara terbuka di mahkamah sebagai kesalahan jenayah.

“AMIR ini sama dengan konsep Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan mengenakan hukuman mandatori lima kali sebatan serta penjara minimum lima tahun.

“Tindakan punitif ini sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak wujud lagi penghinaan terhadap kemuliaan Islam dan Raja-Raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam di peringkat negeri mahu pun persekutuan.

“Suatu jawatankuasa tertinggi dipengerusikan Ketua Hakim Negara dan beberapa ahli lain turut dicadang untuk dibentuk, selaras penggubalan AMIR,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Agung Tahunan Kesembilan PERKASA 2018, di sini, hari ini.

Ahli jawatankuasa lain yang dicadangkan itu merangkumi Ketua Setiausaha Negara sebagai Timbalan Pengerusi, selain dianggotai Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Peguam Negara, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Bukit Aman, Ketua Cawangan Khas, Presiden Majlis Peguam, mufti, tokoh penjawat awam, dan pemimpin masyarakat berkaitan.

Ibrahim berkata, jawatankuasa itu boleh mencadangkan kepada Peguam Negara untuk mendakwa mana-mana individu yang difikirkan wajar di mahkamah secara terbuka jika mempunyai bukti mencukupi dan tanpa keraguan.

Selain itu, katanya, dalang kegiatan yang buruk secara tersembunyi, ‘bertopengkan’ nama samaran di media sosial boleh didakwa selepas pihak keselamatan mengenal pasti identiti mereka.

“Cadangan mewujudkan AMIR ialah satu-satunya cara paling berkesan bagi memelihara kemuliaan Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, justeru ia perlu disegerakan sebelum ‘nasi menjadi bubur’.

“Jika perkara sensitif seperti menghina Islam dan Raja-Raja Melayu tidak dibendung, ia bakal membawa kepada kebangkitan umat Islam yang kemudiannya menggugat keharmonian serta keselamatan negara hingga merugikan semua pihak,” katanya.

Ibrahim berkata, Melayu memerlukan pemimpin yang tidak munafik, hipokrit atau sekadar indah khabar daripada rupa.

Katanya, Melayu perlu bangkit mengasah keberanian pahlawan bangsa jika tidak mahu bumi tercinta terus diinjak orang, sebelum hilang dan menjadi milik anasir lain seperti yang berlaku di Singapura dan Palestin.

PRESIDEN PERKASA, Datuk Dr Ibrahim Ali berucap pada Persidangan Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa kali ke 9 di Hotel Regency, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PRESIDEN PERKASA, Datuk Dr Ibrahim Ali berucap pada Persidangan Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa kali ke 9 di Hotel Regency, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Berita Harian X