Rabu, 28 November 2018 | 3:52pm
GOBIND Singh Deo ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA
GOBIND Singh Deo ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

Pegangan saham parti dalam syarikat media dikaji

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji cadangan mengehadkan pegangan saham parti politik dalam syarikat media.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata kajian itu perlu dilaksanakan bagi mengelak laporan berat sebelah disiarkan, terutama oleh syarikat media yang mempunyai pegang saham oleh parti politik.

Beliau berkata, isu pegangan saham dimiliki ahli politik itu memang disedari dan wujud persepsi pada laporan berita yang (bersifat) sebelah pihak.

Katanya, banyak pihak melahirkan kebimbangan pemilikan saham oleh segelintir ahli politik yang dilihat mencorakkan nilai sesebuah berita itu.

“Saya terima cadangan itu dan kita boleh hadkan pegangan saham ahli politik dalam syarikat media.

“Perkara ini sedang diteliti dan kita juga mengkaji perbezaan pegangan saham serta kawalan seseorang dalam syarikat media.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk memastikan laporan berita sesuatu media itu bersifat neutral, benar dan mampu memupuk diskusi dalam kalangan rakyat berhubung sesuatu dasar atau isu.

“Di peringkat global, kita lihat rakyat sesuatu negara dibina mengikut berita dilaporkan dan apa yang mereka baca. Corak pemikiran mereka adalah apa yang mereka baca melalui media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (PH DAP-Cheras) yang mahu penjelasan bagaimana kebebasan media dijamin dan memastikan media mempunyai kebebasan semak serta imbang dalam pentadbiran kerajaan baharu.

Gobind turut menegur kerajaan Sarawak supaya mengamalkan kebebasan politik ketika menjawab soalan berasingan daripada Datuk Seri Nancy Shukri (GPS PBB-Batang Sadong) yang ingin mengetahui komitmen kerajaan berhubung isu penyiaran berita tempatan Sarawak di Semenanjung.

“Saya sebutkan secara jelas, apabila ada acara dikendalikan kerajaan negeri, liputan itu diadakan.

“Namun, kita lihat negeri keluarkan beberapa pekeliling yang tidak membenarkan wakil Pakatan Harapan (PH) hadir program mereka.

“Kita kalau nak tanya pasal kebebasan ini, anda perlu mengotakan apa yang dikata. Jangan setakat sebut (PBB) rakan PH, tapi pada masa tak benarkan sama sekali wakil kita dari Sarawak atau luar Sarawak hadiri acara kerajaan negeri,” katanya.

Berita Harian X