Rabu, 28 November 2018 | 3:25pm
ANNUAR Musa

Tangani ancaman dengan tegas - UMNO

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bertegas dalam menyelesaikan isu rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman dengan mengutamakan keharmonian masyarakat.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata rusuhan tercetus berpunca daripada golongan samseng dan pihak yang membelakangkan undang-undang.

“Kalau tidak mahu perkara sebegitu berulang, kerajaan kena tegas. Cari pelakunya dan ambil tindakan.

“Wakil rakyat dan pemimpin tempatan juga perlu berperanan turun padang jumpa masyarakat supaya isu ini dapat dikawal.

“Jangan porak-perandakan penyatuan antara kaum yang selama ini hidup dengan aman tanpa gangguan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Himpunan Perdana Menolak ICERD bulan depan bukan platform untuk meniupkan sentimen perkauman.

“Penganjur jangan jadikan isu semasa untuk menghangatkan keadaan, sebaliknya berhimpunlah dengan aman seperti dijanjikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mempelawa masyarakat pelbagai kaum menyertai perhimpunan yang bakal berlangsung 8 Disember ini.

Katanya, perhimpunan terbabit bukan berlandaskan polemik perkauman, sebaliknya memperjuangkan dasar negara.

“Negara kita diwarisi daripada penjajah dan ada beberapa ‘bom jangka’ yang turut ditinggalkan.

“Kalau tidak diuruskan dengan cermat, ia akan menjadi polemik membabitkan kaum, agama dan ekonomi.

“Kita kena duduk, bincang dan menguruskannya dengan harmoni,” katanya.

Berita Harian X