Isnin, 26 November 2018 | 7:44pm
DATUK Shamsubahrin Ismail - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Pemandu teksi tak protes hingga 1 Januari 2019

KUALA LUMPUR: Semua pemandu teksi di bawah syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, berjanji tidak akan mengadakan demonstrasi dan protes sehingga 1 Januari tahun depan.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail, memberi jaminan itu selepas pertemuannya dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Parlimen, hari ini.

Shamsubahrin berpuas hati dengan pertemuan itu selepas Loke memberi penjelasan semua pemandu aplikasi e-hailing seperti Grab diwajibkan membuat pendaftaran lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) seperti pemandu teksi, bermula 1 Januari 2019.

“Menteri beri jaminan, demi menjaga periuk nasi pemandu teksi, beliau tidak akan berkompromi kepada pemandu e-hailing yang tidak memohon lesen PSV dan tindakan akan diambil kepada mereka.

“Saya berpegang pada janji beliau dan beri tempoh hingga 1 Januari depan. Itu pada saya, persatuan atau pemandu teksi lain saya tak tahu

“Namun, kita tidak boleh terima jika janji itu tidak terlaksana selepas 1 Januari. Menerusi pertemuan tadi, Menteri Pengangkutan orang yang ‘straight forward’ dan Insya-Allah beliau akan kotakan janji itu,” katanya ketika ditemui di luar bangunan Parlimen, hari ini.

Shamsubahrin berkata, pertemuan selama 45 minit bersama Loke turut membawa berita baik kepada pemandu teksi eksekutif biru yang tidak dapat memperbaharui permit teksi berkenaan.

“Sebelum ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) nak hapuskan permit teksi biru, tapi saya dapat persefahaman daripada menteri supaya semua pemandu dan pemilik teksi terbabit serahkan bukti SPAD tidak mahu perbaharui permit.

“Beliau beri jaminan akan meneliti isu ini selepas bukti dikemukakan dan sedia membantu untuk tidak membatalkan permit berkenaan,” katanya.

Ditemui di lobi Parlimen, Loke berkata, penjelasan dalam pertemuan itu adalah berkaitan peraturan e-hailing yang sudah diwartakan manakala penguatkuasaan terhadap pemandu e-hailing tanpa lesen PSV akan bermula pada 12 Julai tahun depan.

Setakat ini, katanya, permohonan lesen pengendalian e-hailing dibuka kepada syarikat e-hailing dan syarikat teksi yang mahu beralih ke teknologi itu, manakala pendaftaran pemandu bermula pada 1 Januari depan.

Berita Harian X