Khamis, 22 November 2018 | 8:43pm
PRESIDEN GAMIS, Muhammad Faizzuddin bin Mohd Zai. - Foto Saifullizan Tamadi

Jangan kutip hutang PTPTN seperti along

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) meminta supaya kerajaan khususnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak bertindak seperti along yang secara paksa ingin mengutip hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya, Muhammad Faizzuddin bin Mohd Zai, berkata pada 2 November 2018 yang lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi pembentangan Belanjawan 2019 sudah mengusulkan satu polisi yang membebankan anak muda iaitu sistem potongan gaji secara automatik bagi peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 .

“Kita turut digemparkan dengan dasar potongan hutang (belum diketahui berapa peratus) yang diberikan hanya kepada peminjam yang datang daripada keluarga B40 dan mendapat kelas pertama dalam pelajaran.

“Lebih mengecewakan lagi apabila Dr Maszlee langsung tidak membahaskan isu PTPTN ketika sesi penggulungan Belanjawan 2019 malah tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk mengubah polisi yang menekan anak muda ini.

“Jelas terbukti bahawa polisi pembayaran hutang PTPTN yang dilaksanakan kerajaan PH lebih kejam berbanding kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anak muda menyedari bahawa hutang wajib dibayar dan ia adalah tanggungjawab asas bagi setiap orang Muslim, namun mengutip hutang secara paksa adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan prinsip Islam.

Katanya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara tahun lalu, kadar pengangguran di negara ini adalah pada kadar 3.5 peratus atau seramai 504,100 orang penganggur dan jumlah ini amat membimbangkan.

“Bank Negara Malaysia menerusi Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 turut merekodkan bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700 sebulan sebagai gaji minimum untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.

“Sebanyak 89.1 peratus daripada graduan diploma yang berkerja memiliki pendapatan sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus graduan ijazah pertama berpendapatan RM2,000 dan ke bawah.

“Justeru, kerajaan sepatutnya memperkenalkan polisi ekonomi yang membantu pemerkasaan ekonomi anak muda, bukannya menekan hidup peminjam,” katanya.

Berita Harian X