Khamis, 22 November 2018 | 12:28pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (kanan) beramah mesra bersama pelajar dari Malaysian Homeschooling Network ketika membuat lawatan pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sekolah perlu tingkat program silang budaya - Maszlee

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menyarankan sekolah pelbagai aliran di negara ini mengadakan program atau aktiviti silang budaya bagi mencorak pemikiran generasi masa depan.

Beliau berkata, aktiviti seperti pertukaran murid dan guru, bermain sukan dan persembahan budaya secara bersama, boleh menjadi penawar kepada masalah atau isu perhubungan antara kelompok masyarakat yang berbeza di Malaysia.

"Saya ingin melihat lebih banyak aktiviti silang budaya melihatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil, dan Sekolah Agama perlu diadakan, bagi kita memahami satu sama lain.

"Kita boleh mengadakan program kembar antara sekolah-sekolah ini...kita adakan aktiviti seperti sukan yang boleh mempereratkan hubungan kita.

"Anak-anak kita bagaikan kain putih yang hendak kita corakkan. Perlu kita adakan program-program bersama. Tak kenal maka tak cinta, tapi yang lebih bahaya, tak kenal akhirnya prejudis dan salah faham," katanya berucap pada Forum Bahasa Jiwa Bangsa 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, di sini malam tadi.

Turut diadakan sempena forum itu ialah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Maszlee turut berkongsi pengalamannya semasa melawat Sekolah Rendah Agama Hidayah Kg Sinaran di Skudai, Johor Bahru, hujung minggu lalu yang mempunyai "program sekolah kembar" dengan SJKC Foon Yew 1, Johor Bahru.

Katanya, beliau tersentuh apabila melihat kedua-dua sekolah itu mengadakan program secara bersama yang mana pelajar mereka bermain, bersukan dan makan bersama.

“Makan ini amat penting. Kalau bercinta, kita kata dari mata, turun ke hati. Dalam persaudaraan, mempereratkan tali persahabatan, dari perut, naik ke hati. Aktiviti makan bersama mengeratkan lagi hubungan kita," katanya.

Maszlee juga menyifatkan DBP dan Dong Zong mencipta sejarah apabila menandatangani MoU untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kegiatan bahasa dan sastera.

Katanya, kerjasama sedemikian amat diperlukan bagi memastikan bahasa Melayu menjadi milik bersama.

“Program kerjasama DBP, Dong Zong dan Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN) ini adalah satu langkah ke arah mewujudkan wacana ilmiah yang dapat mengubah persepsi masyarakat pelbagai kaum dalam usaha DBP meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia,” katanya.

DBP diwakili Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Datuk Padilah Ali, manakala Dong Zong diwakili Pengerusinya, Tan Tai Kim dan Timbalannya, Tan Yew Sing.

Sementara itu, Tan Tai Kim berkata pihaknya berharap kerjasama yang semakin erat ini akan menyokong pembelajaran Bahasa Melayu dan mengenali kepentingan kepelbagaian budaya.

"Apa yang pentingnya, Dong Zong bersama DBP dan IPPN dapat menganjur bersama Forum Bahasa Jiwa Bangsa, satu jangkauan langkah yang besar bagi semua.

"Kami berharap kerjasama sebegini bukan saja dapat diteruskan, malah dipereratkan," katanya.

Berita Harian X