Rabu, 21 November 2018 | 4:42pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tak guna perkataan melarang, 'ban' pembangkang - Maszlee

HULU LANGAT: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menafikan dakwaan ada menggunakan perkataan melarang atau ‘ban’ wakil rakyat pembangkang daripada menghadiri sebarang majlis rasmi di sekolah.

Sebaliknya beliau hanya berkata, wakil rakyat yang bukan dari kerajaan perlu mengikut prosedur membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan sebelum memasuki sekolah kerajaan.

“Tak betul apabila guna perkataan ‘ban’ ataupun mengatakan saya melarang. Saya tidak pernah cakap itu, yang saya katakan kepada wakil rakyat yang bukan daripada kerajaan supaya mereka mengikut prosedur membuat permohonan itu.

“Tolong jangan salah faham, saya tak nampak apa pun tentangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Program ‘Life Saving Skills’ dan Modul Kesedaran Keselamatan dan Menyelamat Di Air Sekolah-sekolah Malaysia 2018 di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (Kem Tekali), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Semalam, Maszlee ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Parlimen dilaporkan berkata Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Katanya, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit mendakwa beliau tidak dibenarkan masuk ke sekolah milik kerajaan bagi menghadiri program tanpa sebarang alasan kukuh.

Sabri dipetik sebagai berkata, beliau kesal dengan tindakan diskriminasi itu yang disifatkannya sebagai tidak sepatutnya berlaku.

Mengulas lanjut, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam ketika ditanya apakah arahan prosedur membuat permohonan itu hanya terpakai untuk semua wakil rakyat termasuk dari kerajaan, beliau berkata;

“Contohnya macam saya, sebagai menteri takkan saya nak buat permohonan. Biasanya pihak sekolah yang akan clearkan (putuskan) atau di pihak kementerian kita akan putuskan,” katanya.

Berita Harian X