Sabtu, 17 November 2018 | 6:14pm
LARANGAN penggunaan rokok elektronik (vape) dan shisha di restoran dan premis makanan perlu dikuatkuasa seperti larangan merokok. - Foto hiasan

Larangan vape, sisha di restoran dan premis makanan perlu dilaksana

KUALA LUMPUR: Larangan penggunaan rokok elektronik (vape) dan shisha di restoran dan premis makanan perlu dikuatkuasa seperti larangan merokok kerana kedua-dua bahan itu mempunyai kesan buruk yang lebih tinggi daripada asap rokok.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Hospital Pakar Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun berkata, selain mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna, vape dan shisha juga secara tidak langsung membahayakan perokok pasif.

“Penggunaan vape dan sisha ini lebih teruk lagi daripada asap rokok kerana wap yang dihembus keluar sebagai titisan udara mempunyai saiz molukel lebih besar daripada molekul asap rokok.

“Disebabkan saiz molekul lebih besar maka proses penyerapan kedua-dua bahan itu lebih cepat dan risiko mendapat penyakit kanser paru-paru dan jangkitan pada paru-paru lebih tinggi berbanding rokok.

“Yang keduanya, kandungan pengambilan nikotin bagi vape dan shisha juga tidak terkawal berbanding kandungan nikotin dalam rokok dan mereka (pengguna) boleh menentukan sendiri kuantiti berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Susulan keputusan Kementerian Kesihatan menguatkuasa larangan merokok di restoran dan premis makanan, Dr Hanafiah mencadangkan pemilik premis menyediakan sebuah bilik kecil untuk perokok.

“Di Jepun mereka menyediakan kebuk atau sebuah bilik kecil yang boleh memuatkan tujuh atau lapan orang perokok.

“Kalau mahu merokok, mereka sendiri (perokok) perlu duduk bersama-sama dan hidu asap rokok mereka bukan dikongsi orang lain kerana setiap orang berhak mendapat udara bersih,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, vape dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasa pada 1 Januari depan.

Beliau berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan membabitkan vape dan shisha dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memutuskan peraturan larangan merokok akan dikuatkuasa 1 Januari depan di semua restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Dengan penguatkuasaan peraturan itu, perokok ditahan di kawasan larangan akan didenda RM10,000 dan pengusaha makanan yang tidak mematuhi larangan ini boleh didenda RM2,500.

Mengulas mengenai keputusan berkenaan, Dr Hanafiah berkata, selain mengenakan denda kepada perokok, Kementerian Kesihatan perlu mengkaji semula caj rawatan kesihatan terhadap perokok tegar atau individu yang mempunyai rekod kesihatan disebabkan menghisap rokok.

“Kita boleh kenalpasti individu yang merokok dan mempunyai masalah kesihatan disebabkan pengambilan nikotin. Oleh itu, saya sarankan caj rawatan kepada mereka ini dinaikkan.

“Golongan ini (perokok) yang bukan saja tidak menjaga kesihatan diri, malah turut menjejaskan kesihatan orang lain, maka saya berpendapat mereka juga perlu dikecualikan daripada menerima subsidi rawatan perubatan dan kesihatan,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan turut melarang penggunaan vape dan shisha di restoran terbuka seperti larangan merokok.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata kedua-dua bahan itu juga mempunyai nikotin yang secara tidak langsung turut membahayakan perokok pasif sama seperti rokok.

Berita Harian X