Rabu, 14 November 2018 | 3:56pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng.
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng.

Belanjawan 2019 tak diubah - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengubah suai Belanjawan 2019 walaupun berlaku kejatuhan harga minyak mentah dunia kepada AS$65 setong ketika ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, kerajaan akan membuat kajian menyeluruh kenaikan atau kejatuhan harga minyak mentah dunia memandangkan peningkatan harga bahan api itu bakal memberi kesan kepada bekalan walaupun mengurangkan hasil.

“Pada masa ini, tidak (ada pengubahsuaian belanjawan) walaupun pun harga minyak mentah jatuh sehingga AS$52 atau AS$72 setong.

“Kita merangka belanjawan pada andaian harga minyak AS$72 setong dan ketika belanjawan disediakan, kita andaikan harga minyak naik AS$85 setong,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 hari ini, menyuarakan kegusarannya susulan pendekatan Pakatan Harapan (PH) merangka Belanjawan 2019 bersandarkan harga minyak mentah dunia AS$72 satu tong.

Menyentuh isu penurunan penarafan terhadap Petronas oleh Moody Investors Services, Guan Engberkata, ia bukan penurunan taraf sebaliknya hanya unjuran.

Bagaimanapun, beliau mengakui berasa lega kerana penarafan kedaulatan tidak diturunkan.

“Semestinya kita mesti bekerja keras untuk memastikan ini dikekalkan. Ia memang mencabar berikutan defisit fiskal tetapi kita akan mengimbanginya,” katanya.

Berita Harian X