Isnin, 12 November 2018 | 2:52pm
DR Wan Azizah pada sidang media selepas melancarkan program Program Astro Junior Championship U15 di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
DR Wan Azizah pada sidang media selepas melancarkan program Program Astro Junior Championship U15 di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Ada orang teruja dan seronok

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyerahkan keputusan rasmi pemilihan PKR kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Katanya, beliau masih menunggu kata dua JPP sama ada keputusan beberapa cabang yang tidak dapat ditentukan itu mahu diadakan semula pengundian atau apa-apa keputusan pada pengundian itu diterima atau sebaliknya.

“Saya serahkan kepada JPP kerana kita mahu pemilihan ini dijalankan secara bebas,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Program Astro Junior Championship U15 di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendakwa mengekalkan jawatannya pada pemilihan PKR yang berakhir semalam.

Mohamed Azmin dalam akaun Twitter miliknya mengucapkan terima kasih kepada ahli PKR yang bersama ‘membingkai’ muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen.

Sementara itu, keputusan akhir tidak rasmi yang dimuat naik dalam akaun Twitter ‘Pemilihan Keadilan 2018’, turut menyatakan Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden selepas memperoleh 70,550 undi mengatasi Rafizi yang mendapat 66,594 undi.

Twitter itu berkata, kesemua keputusan akhir tidak rasmi disiarkan dalam Twitter itu tidak termasuk 1,718 undi di Pensiangan, Sabah yang belum diselaraskan dengan data di Cloud dan jumlah undi di Julau, Sarawak.

Semalam, JPP dalam laman web PemilihanKeadilan2018 mengumumkan keputusan pengundian pemilihan di Julau dan Tawau tidak dapat diumumkan.

Ditanya sama tindakan Mohamed Azmin mengumumkan kemenangannya itu dibenarkan, Dr Wan Azizah berkata pemilihan itu belum sampai ke penghujungnya dan keputusan rasmi hanya akan diumumkan JPP.

“Alhamdulillah, (pemilihan) sudah berjalan namun kita masih belum sampai penghujungnya lagi. Kadang kala ada orang yang teruja dan seronok (membuat pengumuman),” katanya.

Berita Harian X