Sabtu, 10 November 2018 | 3:11pm
SULTAN Nazrin berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada pengerusinya Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (dua dari kanan) di Istana Iskandariah, Kuala kangsar. - NSTP/Abdullah Yusof
SULTAN Nazrin berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada pengerusinya Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (dua dari kanan) di Istana Iskandariah, Kuala kangsar. - NSTP/Abdullah Yusof

Jemaah Pemangku Raja laksana tugas Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan sepanjang tempoh baginda menjalankan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Jemaah Pemangku Raja Perak itu dipengerusikan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan akan berkuat kuasa esok.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayub Hashim, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, berkata Jemaah Pemangku Raja Perak itu dianggotai dua ahli terdiri daripada Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Istiadat mengangkat sumpah Jemaah Pemangku Raja Perak berlangsung di Istana Iskandariah di hadapan Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Pada 2 November lalu, Sultan Nazrin, menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perisytiharan itu bagi membolehkan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, beristirahat menjalani rawatan bermula 2 November sehingga 31 Disember ini.

Berita Harian X