X
Sabtu, 10 November 2018 | 12:15am
DR Maszlee Malik - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
DR Maszlee Malik - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Pindaan AUKU akan dibentang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung cadangan pindaan beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dijangka berlangsung pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pindaan itu turut membabitkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Katanya, pindaan membabitkan pemansuhan peruntukan yang menghalang mahasiswa universiti terbabit dalam aktiviti parti politik di kampus seperti disebut dalam Seksyen 15(2) (C) AUKU, Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang terpakai kepada semua universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik, kolej komuniti dan institut perguruan.

“Langkah ini selari dengan transformasi politik dalam mengukuhkan institusi demokrasi terutamanya bagi memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk bersuara dan terbabit dengan aktiviti politik di kampus

“Selain itu, ia bertujuan untuk menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa peruntukan dalam AUKU yang digunakan pada masa kini perlu disesuaikan dengan pelan transformasi yang diusahakan kerajaan baharu.

“AUKU Perlu dilihat semula bagi memastikan bahawa semangat dan kehendak transformasi berkenaan diterjemah berdasarkan keluhuran undang-undang.

“Ïni adalah langkah awal transformasi supaya seiring dengan kemajuan teknologi dan maklumat dan kementerian turut menyasarkan satu akta baharu pendidikan tinggi digubal bagi menggantikan AUKU menjelang tahun 2020,” katanya.

Berita Harian X