Isnin, 5 November 2018 | 4:20pm
HANNAH Yeoh. - NSTP/Supian Ahmad
HANNAH Yeoh. - NSTP/Supian Ahmad

Tambah taska tingkat pembabitan wanita dalam pasaran kerja

PUTRAJAYA: Peruntukan RM10 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2019 bagi menambah 50 taska di bangunan kerajaan akan meningkatkan pembabitan wanita dalam pasaran kerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng manakala, mekanisme permohonan penambahan taska akan diperincikan selepas Belanjawan 2019 diluluskan di Dewan Rakyat nanti.

“Sebelum ini, kita minta semua agensi kerajaan menyediakan taska di tempat kerja masing-masing bagi membantu golongan wanita atau ibu bapa bekerja yang memerlukan penjagaan kanak-kanak.

“Kita gembira kerana dengan adanya RM10, tentu akan memberi dorongan kepada semua agensi kerajaan cuma mekanisme permohonan itu akan dijelaskan nanti,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat banyak pejabat kerajaan yang sudah menyediakan taska dan bagi yang belum, ia berkemungkinan kerana kekurangan tempat atau dari segi peruntukan.

“Kita mengumumkan iaitu bermula 1 Januari tahun depan, mereka perlu menggunakan duit kementerian masing-masing untuk mewujudkan taska di tempat kerja.

“Apabila Belanjawan 2019 mengumumkan RM10 juta, ia sangat bagus memandangkan sekarang kita ada peruntukan khas diberikan Kementerian Kewangan untuk tujuan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, pihaknya memandang serius berhubung taska di tempat kerja susulan kes kematian bayi, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif berusia lima bulan dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya di Batu Caves, Selangor.

Bagaimanapun, bayi terbabit ditemui mati di peti sejuk di rumah pengasuhnya manakala pengasuh Adam didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.

Menerusi Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menambah 50 taska di bangunan kerajaan bagi meringankan bebanan ibu yang bekerja.

Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan juga akan terus menggalak dan memberikan insentif kepada sektor swasta ke arah memastikan peluang pekerjaan yang saksama bagi wanita.

Sementara itu, Hannah dalam ucapannya pada Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas berkata, semua pihak yang terbabit dalam program kesukarelawanan disaran mencari cara baharu untuk pengurusan yang efektif dan memberi hasil lebih baik serta berimpak tinggi bagi membantu golongan sasar.

Katanya, jika operasi program kesukarelawanan tidak diuruskan dengan cekap dan produktif, usaha bersungguh-sungguh mereka hanya akan memberikan impak minimum.

Berita Harian X