Ahad, 4 November 2018 | 2:18pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) melakukan pelepasan Program larian "Warriors In Purple" di Taman Belia, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) melakukan pelepasan Program larian "Warriors In Purple" di Taman Belia, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Belanjawan 2019: Pulau Pinang dianggap negeri maju - KM

GEORGETOWN: Ketiadaan peruntukan khusus kepada Pulau Pinang dalam Belanjawan 2019 dikatakan berpunca daripada tanggapan Kerajaan Persekutuan bahawa Pulau Mutiara adalah negeri maju.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya juga sudah dimaklumkan supaya tidak terlalu berharap kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya dengan kedudukan kewangan negara terkini.

“Ia juga berpunca daripada hasrat Kerajaan Persekutuan yang mahu mengimbangi pembangunan di semua negeri. Kita faham situasi itu dan akan terus memperkukuh kerjasama melalui Perkongsian Awam Swasta Profesional dan Rakyat (PPPP).

“Kita akan memperhebat PPPP untuk membawa masuk lebih banyak projek, tanpa memerlukan banyak dana awam. Kita juga akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dan pihak yang memberi kelulusan.

“Kita juga menyambut baik mana-mana inisiatif yang boleh membantu membangunkan negeri. Kita akan cuba bangunkan Pulau Pinang sebaik mungkin, mengikut kemampuan,” katanya selepas melepaskan peserta Program ‘Wariors in Purple’ di sini, hari ini.

Kerajaan memperuntukkan kemudahan bebas cukai bagi pengusaha kedai di Pelabuhan Swettenham di sini, selain memansuhkan tol bagi laluan motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, menerusi pembentangan Bajet 2019, kelmarin.

Ditanya sama ada dana tambahan bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dinyatakan dalam Bajet 2019, Kon Yeow berkata, pihaknya tidak berharap Kerajaan Persekutuan untuk berbuat demikian selepas sejumlah RM150 juta diperuntukkan kerajaan terdahulu.

Malah, katanya, Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji strategi untuk melaksanakan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) tanpa menggunakan wang kerajaan, sebaliknya menerusi dana Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).

“Ia mungkin akan ada penstrukturan semula milikan LTAPP bagi memastikan hanya dana awam dan REIT digunakan untuk kerja menaik taraf. Ia diletakkan di bawah REIT, walaupun tiada pengumuman khusus bagi Pulau Pinang.

“Saya bagaimanapun masih kurang berpuas hati dengan peruntukan bagi negeri ini dalam Bajet 2019, tetapi memahami keadaan terkini, tambahan dengan kedudukan terkini kewangan negara,” katanya.

Berita Harian X