PUTRAJAYA: Kerajaan berpendapat bahawa Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam diterima dengan baik oleh semua pihak dan akan mempertahankannya daripada sebarang kritikan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, ramai menganggap belanjawan bagi tahun depan adalah belanjawan kecil seolah-olah kerajaan menghadapi masalah kewangan biarpun biarpun ia adalah satu belanjawan yang menyeluruh.
“Kita dapat bantuan sikit daripada Petronas yang sanggup memberi dividen tambahan sebanyak RM30 bilion.
“Walaupun RM30 bilion itu banyak tapi kita harus ingat hutang negara adalah lebih RM1 trilion,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Dr Mahathir berkata, kerajaan bagaimanapun berjaya menangani sebahagian hutang berkenaan dan boleh menyediakan belanjawan yang sudah mengambil kira kepentingan semua pihak.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam, kerajaan berupaya mengumumkan peruntukan belanjawan yang lebih tinggi bagi 2019 berserta beberapa cukai baharu serta peningkatan cukai selain cadangan bayaran khas kepada penjawat awam biarpun dalam keadaan ekonomi serta kewangan yang agak menekan.
Kerajaan memperuntukkan RM314.5 bilion untuk Belanjawan 2019 berbanding RM290.4 bilion pada Bajet 2018. Daripada jumlah terbabit, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan ini tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion.
Berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) Dr Mahathir berkata, kerajaan akan melihat secara mendalam isu berkenaan sama ada ia sesuai atau tidak dilaksanakan di negara ini.
“Kita tidak boleh ambil sistem orang lain dan melaksanakannya begitu sahaja. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan kita juga harus menghormati perkara itu,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan kerajaan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan mengenai UEC.
Menerusi Belanjawan 2019 semalam, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar membabitkan RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan selaras dasar kerajaan yang mahu mewujudkan suasana pendidikan lebih berkualiti di semua peringkat.