Sabtu, 3 November 2018 | 7:43pm
Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (PERTUNAS), Amir Hakimin Che Razali. - NSTP/Hanneeyzah Bariah Baharin
Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (PERTUNAS), Amir Hakimin Che Razali. - NSTP/Hanneeyzah Bariah Baharin

Belanjawan 2019 perkasa ekonomi digital

KUALA TERENGGANU: Usahawan perlu meletakkan perniagaan mereka pada ekosistem yang tepat untuk bersaing pada peringkat global, terutama menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang digariskan dalam Belanjawan 2019.

Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (PERTUNAS), Amir Hakimin Che Razali, berkata DFTZ yang akan menggabungkan zon fizikal serta maya dengan perkhidmatan tambahan dalam talian dan digital akan memanfaatkan kemudahan e-dagang.

“Ia seiring dengan kedudukan Malaysia yang kini muncul antara pasaran e-perdagangan di peringkat global membabitkan janaan pendapatan mencecah RM9.53 bilion, tahun lalu.

“Kecanggihan teknologi digital sedang dan akan mengubah cara perniagaan dijalankan seperti blok rantaian, mata wang digital, urus niaga atas talian dan transaksi tanpa tunai yang menjadi perkara biasa baharu dalam ekosistem keusahawanan dan perniagaan,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, langkah kerajaan mencadangkan penguatkuasaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang dijangka menurunkan harga jalur lebar talian tetap sekurang-kurangnya 25 peratus pada akhir 2018 adalah pemangkin untuk usahawan muda peka dengan perubahan landskap ekonomi semasa.

“Landskap ekonomi semasa kini menuju gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang bersandarkan kepada penggunaan teknologi terkini dan industri berasaskan pengetahuan.

“Pembangunan ekonomi digital yang lebih berinovasi, sekali gus mewujudkan satu konsep jaringan perdagangan rentas sempadan di peringkat global.

“Perubahan yang dicetuskan oleh pendigitalan bukan sahaja berperanan dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi, tetapi merangkumi peningkatan permintaan pekerja berkemahiran tinggi serta membuka peluang pekerjaan baharu.

“Industri 4.0 adalah satu industri baharu yang diberikan fokus di bawah Belanjawan 2019, terutama sekali bagi meletakkan negara ini di antara 20 negara terbesar di dunia dari segi saiz ekonominya,” katanya.

Beliau berkata, geran padanan atau dana yang disediakan menerusi Belanjawan 2019 kali ini juga dilihat lebih strategik dan bersasar kepada syarikat berimpak tinggi bagi memastikan prestasi Perusahaan Kecil dan Sederhana terus berada pada landasan pertumbuhan sedia ada sehingga suku pertama 2019.

Berita Harian X