Jumaat, 2 November 2018 | 10:22pm
KETUA Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias. - Foto Aswadi Alias
KETUA Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias. - Foto Aswadi Alias

Belanjawan 2019 inisiatif imbangi jangka panjang, pendek - KWSP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2019 yang dilihat mengimbangi keperluan pencarum dalam memperkukuhkan kesejahteraan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias, berkata langkah berkaitan KWSP terutama dalam mengurangkan kadar caruman berkanun untuk ahli selepas umur persaraan adalah selaras dengan konsep penuaan aktif, yang mana pesara terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada tenaga kerja.

“Cadangan ini termasuk menetapkan kadar caruman syer pekerja kepada sifar peratus untuk ahli yang mencapai umur 60 tahun. KWSP melihat ini sebagai langkah positif kerana ia meningkatkan jumlah gaji bawa pulang, sesuai dengan keperluan kewangan sepanjang tempoh persaraan mereka.

“Bagaimanapun, pesara yang berhasrat untuk terus menyimpan dengan KWSP masih boleh mencarum secara sukarela,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tunku Alizakri berkata, KWSP mengambil maklum cadangan kerajaan untuk mengasingkan pelepasan cukai antara caruman KWSP dan premium takaful dan insuran hayat, memandangkan kedua-duanya tergolong di bawah aspek sistem keselamatan sosial yang berlainan.

“Walaupun langkah terbabit mengurangkan elemen perlindungan cukai ke atas caruman KWSP, ia adalah langkah yang betul dan harus dilihat dari konteks penambahbaikan ke atas skim keselamatan sosial secara menyeluruh,” katanya.

“Mengenai caruman bulanan e-Kasih RM40 untuk i-Suri yang diteruskan, inisiatif itu mendapat sambutan positif dan setakat Oktober lalu, seramai 28,963 orang atau 13.29 peratus sudah mendaftar di bawah skim berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Belanjawan 2019 bersifat inklusif yang mengambil kira keperluan golongan masyarakat rentan dan langkah yang dicadangkan, menyediakan asas untuk pembangunan infrastruktur kesejahteraan sosial yang kukuh.

“Kami amat sukacita kerana belanjawan ini membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan mereka dengan lebih bermaruah sebelum dan selepas bersara,” katanya.

Berita Harian X