Jumaat, 2 November 2018 | 5:01pm

Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 5.9 peratus pada 2019

KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.3 peratus pada 2018 dan 5.9 peratus pada 2019, mencerminkan peningkatan dalam semua subsektor berikutan kepelbagaian sektor ini.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, sektor itu berkembang 6.5 peratus dalam tempoh separuh pertama 2018 diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; kewangan dan insurans; maklumat dan komunikasi; makanan dan minuman serta penginapan.

Pertumbuhan subsektor perdagangan borong dan runcit dijangka kekal kukuh pada tujuh peratus pada 2018 dan 6.3 peratus pada 2019, selari dengan peningkatan aktiviti penggunaan terutama dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan berkadar sifar selama tiga bulan, peningkatan kadar gaji minimum dan peningkatan jualan melalui platform e-dagang.

Seterusnya, subsektor kewangan dan insurans dijangka meningkat 5.5 peratus pada 2018 disokong oleh aktiviti insurans susulan pendapatan premium yang lebih tinggi selain tuntutan lebih rendah.

Pada 2019, subsektor ini dijangka mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus, disokong oleh pemberian pinjaman bank yang berterusan selaras dengan aktiviti ekonomi yang stabil.

Bagi subsektor maklumat dan komunikasi, ia diunjurkan meningkat 8.1 peratus pada 2018 dan lapan peratus pada 2019 berikutan peningkatan penggunaan perkhidmatan jalur lebar dan aplikasi pintar, menurut laporan itu.

“Tambahan pula, peningkatan aktiviti pendigitalan dalam ekonomi dijangka mendorong peningkatan pertumbuhan subsektor ini. Pelaksanaan Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses dijangka mengurangkan harga jalur lebar dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, seterusnya memberi manfaat kepada pengguna dan meningkatkan pertumbuhan subsektor,” kata laporan itu.

Subsektor makanan dan minuman serta penginapan dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.1 peratus pada 2018 disokong oleh aktiviti pelancongan domestik dan peningkatan pelanggan restoran.

Bagi 2019, subsektor itu dijangka berkembang 6.9 peratus sejajar dengan aktiviti promosi rancak sempena Melawat Malaysia 2020 dan pakej pelancongan menarik yang ditawarkan melalui pameran pelancongan dalam talian selain pengoperasian beberapa pusat beli-belah dan komponen peruncitan baharu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

“Subsektor perkhidmatan lain diunjur berkembang 5.3 peratus pada 2018 dan 5.1 peratus pada 2019, susulan peningkatan permintaan untuk pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, manakala subsektor perkhidmatan kerajaan dijangka mencatat pertumbuhan 4.4 peratus pada 2018 dan 4.2 peratus pada 2019,” menurut laporan itu. - BERNAMA

Berita Harian X