Jumaat, 2 November 2018 | 4:58pm

Sektor pertanian diunjur pulih pada 2019

KUALA LUMPUR: Sektor pertanian dijangka pulih pada 2019 dengan mencatat pertumbuhan 3.1 peratus berbanding penyusutan sebanyak 0.2 peratus diunjur pada 2018 berikutan pengeluaran serta harga minyak sawit mentah (MSM) dan getah yang lebih rendah.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, pertumbuhan pada 2019 itu akan disokong oleh peningkatan semua subsektor kecuali perhutanan dan pembalakan yang dijangka susut sebanyak 8.9 peratus.

Antara sektor utama, kelapa sawit dijangka mencatat pertumbuhan 4.1 peratus pada 2019 berikutan kenaikan harga MSM kepada RM2,400 satu tan akibat pengeluaran lebih tinggi dan penambahan kawasan matang yang diunjur mencapai keluasan 5.5 juta hektar.

Stok akhir MSM dijangka merosot sebanyak 2.2 juta tan berikutan peningkatan eksport kepada rakan perdagangan utama.

Selain itu, inisiatif untuk menggantikan pokok kurang hasil dan pokok lama dengan benih baharu dan berhasil tinggi, dijangka dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER) dan buah tandan segar (BTS) sehektar menjelang 2020 dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada aktiviti hiliran domestik.

“Usaha untuk menambah baik aktiviti penuaian dan pengangkutan BTS dengan pelaksanaan Skim Insentif Jentera Perladangan Sawit (OPIMIS) dapat meningkatkan pengeluaran minyak sawit dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing,” katanya.

Bagi 2018, industri kelapa sawit dijangka menyaksikan penyusutan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus berikutan hasil BTS yang lebih rendah akibat musim kering berpanjangan di Sabah dan Sarawak.

Pengurangan MSM juga sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang tinggi berikutan pasca pemulihan fenomena El Nino pada 2017.

Subsektor berkenaan juga dijangka terjejas akibat permintaan lebih rendah dari China berikutan penggantian kepada minyak sayuran lain.

Eksport ke India juga diunjur lebih rendah disebabkan oleh kenaikan tarif import ke atas MSM dan minyak sawit ditapis.

Bagi getah, ia dijangka pulih dengan pertumbuhan lima peratus pada 2019 berbanding jangkaan penyusutan pertumbuhan sebanyak 18 peratus tahun ini berikutan cuaca tidak menentu serta harga lebih rendah yang tidak menggalakkan aktiviti penorehan.

Harga Standard Malaysia Rubber 20 (SMR 20) dijangka akan berada pada paras rendah sekitar RM5.50 sekilogram pada 2018 berikutan kelemahan permintaan global di tengah-tengah peningkatan pengeluaran.

“Pada 2019, harga SMR 20 diunjur akan kekal pada RM5.50 sekilogram berikutan jangkaan lebihan bekalan global sebanyak 0.4 juta tan dan permintaan yang lebih rendah daripada sektor automotif terutamanya dari China.

“Walau bagaimanapun, Insentif Pengeluaran Getah yang disediakan oleh kerajaan dijangka meningkatkan kegiatan penorehan oleh pekebun kecil meskipun harga berada pada paras rendah,” kata kementerian itu.

Sementara itu, subsektor ternakan dijangka meningkat 6.7 peratus pada 2018 dan 4.6 peratus pada 2019, disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi bagi segmen ayam-itik dan telur.

Subsektor pertanian lain pula dijangka berkembang 4.6 peratus pada 2018 dan empat peratus pada 2019 berikutan pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih tinggi.

Pertumbuhan subsektor perikanan bagaimanapun dijangka merosot 0.6 peratus pada 2018 dan meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus pada 2019.

Secara keseluruhan, pengeluaran komoditi makanan dijangka menyokong sektor pertanian dengan menyumbang sekitar 42 peratus pada 2018 dan 2019, hasil daripada peningkatan permintaan seiring pendapatan isi rumah yang bertambah. - BERNAMA

Berita Harian X