Khamis, 1 November 2018 | 6:56pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

DEB masih relevan, akan diperkasa

KUALA LUMPUR: Dasar Ekonomi Baharu (DEB) akan terus diperkasa menerusi dasar lebih strategik yang bersesuaian dengan keperluan semasa, bagi memastikan ia kekal relevan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sebagai kerajaan yang peduli rakyat, pengagihan ekonomi perlu dilakukan secara adil kepada rakyat mengikut keperluan masing-masing.

“Dalam langkah kerajaan meneliti semula dasar utama negara, pembangunan sosio-ekonomi orang Melayu dan Bumiputera tetap menjadi agenda penting tanpa meminggir kaum lain di negara ini.

“Dalam hal ini, tindakan afirmatif akan diteruskan, khususnya untuk membangunkan potensi Bumiputera ke arah meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi negara.

“Ia seterusnya akan membolehkan kita mencapai matlamat pengagihan kekayaan yang lebih saksama,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, DEB memberi penekanan terhadap agenda serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat bagi merapatkan jurang ekonomi.

“Semangat DEB diteruskan menerusi dasar selepasnya iaitu Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Wawasan Negara (DWN) dan Model Ekonomi Baharu (MEB).

“Ia selaras dengan usaha ke arah mencapai matlamat kesaksamaan sosio-ekonomi dan perpaduan negara.

“Justeru, kerajaan melihat pelaksanaan dasar dan semangat DEB masih relevan, malah akan terus diperkasa menerusi dasar baharu yang lebih strategik bersesuaian keperluan semasa,” katanya.

Berita Harian X