Selasa, 30 Oktober 2018 | 6:14pm
DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail beramah mesra dengan penerima selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk PPR Desa Rejang pada Program Zero Food Waste AEON Big Malaysia di Wangsa Maju, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail beramah mesra dengan penerima selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk PPR Desa Rejang pada Program Zero Food Waste AEON Big Malaysia di Wangsa Maju, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

KPDNHEP perkenal inisiatif bantu B40

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membangunkan sistem pemantauan harga dan modul kos sara hidup sebagai inisiatif baharu membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dua inisiatif berkenaan adalah usaha kerajaan membantu golongan B40 menghadapi kos sara hidup dengan lebih baik.

“Menjelang pembentangan Bajet 2019, kementerian akan memaklumkan beberapa inisiatif baharu, saya kongsikan dua perkara hari ini yang mana maklumat lanjut akan saya umumkan nanti.

“Dengan inisiatif ini kami akan dapat memberi panduan, perkongsian maklumat dan langkah bagaimana menghadapi kos sara hidup dengan lebih baik kepada rakyat,” katanya pada sidang media Program Zero Food Waste AEON Big Malaysia di Wangsa Maju, hari ini.

Saifuddin berkata, melalui sistem pemantauan harga yang dibangunkan, pengguna dapat memantau dan membuat perbandingan harga sebelum membuat pembelian.

“Sebagai contoh, mereka boleh semak harga yang ditawarkan pasar raya di kawasan rumah mereka dengan menggunakan aplikasi Semak Harga.

“Manakala bagi modul kos sara hidup, kami menggabungkan kepakaran pegawai KPDNHEP dan rakan strategik lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Program Zero Food Waste akan dilaksanakan di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Katanya, setakat ini ia sudah dilaksanakan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, dan Kelantan.

Beliau turut memberi jaminan lebihan makanan yang dikumpulkan berkualiti dan selamat dalam usaha meringankan perbelanjaan bulanan penerima.

“Jangan anggap hari ini nampak cantik kerana untuk tujuan perasmian, saya bagi jaminan sumbangan barangan dari pasar raya ini berkualiti dan selamat.

“Melalui sumbangan ini, penerima dapat mengurangkan perbelanjaan antara RM30 hingga RM40 sehari sekali gus membantu meringankan bebanan mereka.

“Program ini dilaksanakan setiap hari selama 365 hari tanpa cuti yang mana sukarelawan kami akan mengambil dan menghantar makanan ini ke pintu rumah mereka,” katanya.

Dalam program itu, Saifuddin turut menyampaikan lebihan makanan kepada 202 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang.

Berita Harian X