Isnin, 29 Oktober 2018 | 9:47pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

6 teras Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar

PUTRAJAYA: Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dirangka bagi pembangunan jangka pendek ke arah luar bandar lebih sejahtera mengandungi enam teras utama iaitu Prasarana, Ekonomi, Keusahawanan, Modal Insan, Wanita dan Sistem Penyampaian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pelan berkenaan akan menjadi sebahagian daripada pelan strategik dan hala tuju kementerian itu serta agensi di bawahnya untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 29 strategi dan 94 program yang akan dilaksanakan di bawah enam teras pelan pembangunan berkenaan termasuk lapan program keutamaan.

“Bagi pembangunan prasarana, tumpuan bukan saja diberikan kepada prasarana asas seperti bekalan elektrik, bekalan air dan jalan perhubungan tetapi juga memperluaskan liputan Internet melalui Program Desa Digital dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Kawasan luar bandar mestilah mempunyai akses Internet jalur lebar berkelajuan tinggi supaya dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan produktiviti penduduk luar bandar termasuk untuk urusan peribadi seperti perbankan Internet dan pembelian dalam talian,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rina berkata, kegiatan ekonomi luar bandar seperti pertanian, perladangan dan perikanan perlu diperkasa melalui peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi moden dan pembabitan dalam industri hiliran.

Menurutnya, ekonomi penduduk luar bandar perlu dipelbagaikan termasuk melalui kegiatan keusahawanan dan pelancongan desa yang mampan bagi memberi pilihan pekerjaan terutama bagi golongan belia dan seterusnya kekal tinggal di luar bandar.

“Direktori ‘Rural Tourism’ dan Bank Data Usahawan Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan diperkenalkan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan sebagai satu daripada kaedah promosi untuk kedua-dua kegiatan ekonomi berkenaan.

“Untuk keusahawanan pula, penekanan akan diberikan kepada pembabitan usahawan luar bandar dalam pentas perniagaan dalam talian serta berasaskan teknologi dan inovasi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementeriannya akan melaksanakan Gerakan Desa Harapan bertujuan mempertingkatkan keupayaan masyarakat luar bandar diterajui golongan belia bagi membangunkan kampung masing-masing.

“Salah satu program yang akan diperkenalkan di bawah Gerakan Desa Harapan adalah Program Desa Harapan iaitu Program Desa Perintis dengan syarikat korporat dan syarikat swasta.

“Program ini bertujuan menggalakkan pembangunan ekonomi dan modal insan yang khusus di sesebuah kampung melalui kerjasama dengan syarikat swasta,” katanya.

Menurutnya, pembangunan modal insan turut diberi penekanan dalam pelan berkenaan, di mana peranan Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan diperluaskan.

“Latihan dianjurkan oleh INFRA tidak hanya tertumpu kepada ahli Majlis Pembangunan Komuniti Kampung tetapi kepada semua penduduk luar bandar melalui latihan dalam bidang keusahawanan, ekonomi, masyarakat dan inovasi.

“Mengambil kira kepentingan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak luar bandar, bilangan tabika dan taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan ditambah termasuk bilangan taska transit KEMAS di mana buat masa ini hanya terdapat 22 saja,” katanya.

Tambah beliau, pelan itu juga bertujuan mengurangkan ketirisan dan pertindihan projek antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sekali gus kepentingan jalinan hubungan baik antara kedua-duanya.

“Sebab itu perlu duduk berbincang antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri supaya pembangunan dapat dibuat secara holistik,” katanya.

Berita Harian X