Isnin, 29 Oktober 2018 | 7:14pm
PENGARAH PERKESO Negeri, M Nallusamy (lima dari kanan) bersama penerima cek faedah dan alat pemulihan pada program PERKESO bersama Pemimpin Masyarakat di Seremban, hari ini. - NSTP/Adzlan Sidek
PENGARAH PERKESO Negeri, M Nallusamy (lima dari kanan) bersama penerima cek faedah dan alat pemulihan pada program PERKESO bersama Pemimpin Masyarakat di Seremban, hari ini. - NSTP/Adzlan Sidek

Hanya 5,500 pemandu teksi carum PERKESO

SEREMBAN: Hanya 5,500 daripada 100,000 pemandu teksi di negara ini mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) walaupun membabitkan 43 sen sahaja sehari atau RM157.20 setahun.

Ketua Cawangan Faedah Ibu Pejabat PERKESO, Ismail Abi Hashim, berkata rekod itu menunjukkan perkembangan amat tidak sihat yang merugikan pihak berkenaan kerana kebajikan mereka tiada jaminan jika ditimpa suatu musibah atau kemalangan.

“Kita kesal kerana tahap kesedaran mereka masih rendah tetapi jika berlaku kes atau musibah, pihak terbabit menyalahkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program PERKESO Bersama Pemimpin Masyarakat Sempena Hari PERKESO Negeri Sembilan 2018 di Dewan Raja Melewar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong; ADUN Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu; Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, M Nallusamy; dan 40 pegawai penyelaras bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen di negeri ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, hanya 171 daripada 1,571 pemandu teksi di Negeri Sembilan mencarum dengan PERKESO, sedangkan mereka sudah dimaklumkan mengenai kepentingannya untuk kebaikan diri sendiri.

“Ketika PERKESO mengadakan pertemuan dengan persatuan teksi, mereka berkobar-kobar mahu memberi sokongan.

“Malangnya, ketika pelaksanaan (caruman), mereka tidak bekerjasama apabila membabitkan sedikit bayaran,” katanya.

Bagi pemandu dalam perkhidmatan e-hailing pula, beliau berkata, kira-kira 500 hingga 600 individu mencarum dengan PERKESO dan tahap kesedaran itu juga rendah.

“Alasan sering diberikan ialah pemandu Grab hanya melakukan kerja sambilan. Bagaimanapun, kemalangan tidak mengira kerja sambilan atau tidak,” katanya.

Sebagai contoh, Ismail berkata, seorang pemandu Grab ditemui mati dibunuh di Taman Selayang Makmur, Gombak, Selangor, Jun lalu, namun mangsa tidak mencarum menyebabkan tiada perlindungan faedah.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan berusaha memastikan lebih ramai pemandu teksi dan e-hailing membuat caruman PERKESO.

“Tahun depan, kami mahu melaksanakan perkara sama terhadap penggiat seni, selebriti, artis, nelayan, petani dan wartawan sambilan,” katanya.

Berita Harian X