Khamis, 25 Oktober 2018 | 9:00am
DR Chee Kheong (dua dari kiri) dan Vincent pada pelancaran kempen Hari Cuci Tangan Global Ke-11 Lifebuoy, di Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Rohanis Shukri
DR Chee Kheong (dua dari kiri) dan Vincent pada pelancaran kempen Hari Cuci Tangan Global Ke-11 Lifebuoy, di Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Rohanis Shukri

Lifebuoy tak jemu didik rakyat kepentingan membasuh tangan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27, 296 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan sepanjang Januari sehingga Jun lalu berbanding 21, 303 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Statistik berkenaan menunjukkan peningkatan 5,993 kes atau sebanyak 28 peratus.

Sehubungan itu, sempena Hari Cuci Tangan Global Ke-11, Unilever (Malaysia) Holding Sdn Bhd menerusi produk penjagaan badan, Lifebuoy menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan menjaga kebersihan mengekang jangkitan penyakit yang boleh membawa maut.

Pengarah Kecantikan, Penjagaan diri dan Rumah Unilever Malaysia Sdn Bhd, Vincent Chong, berkata penyakit berjangkit boleh disebarkan secara langsung menerusi sentuhan dengan individu terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, jenama berkenaan komited untuk menjaga kebersihan tangan dengan mengamalkan teknik membasuh tangan betul.

Tambah baik kesihatan

“Sebagai rakan penyokong kempen global ini sejak empat tahun lalu, Lifebuoy memainkan peranannya untuk menambah baik kesihatan dan kesejahteraan masyarakat dengan memupuk amalan membasuh tangan menerusi inisiatif bagi mengubah tabiat itu.

“Mencegah jangkitan menerusi sentuhan penting terutama dalam kanak-kanak untuk memastikan mereka sihat,” katanya selepas pelancaran kempen Hari Cuci Tangan Global Ke-11 bagi jenama itu, di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Unilever Malaysia dan Singapura, Annemarieke de Haan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan; Datuk Dr Chong Chee Kheong; Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Perunding Kanan, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee dan Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Kanan, Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Monash, J Paul.

Dr Chee Kheong berkata, Lifebuoy komited untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik mengenai kepentingan membasuh tangan bagi mencegah serta mengawal jangkitan penyakit berjangkit.

Katanya, dengan kerjasama kementerian itu, program Mencuci Tangan School of 5 membabitkan 223,258 kanak-kanak di negara ini diperkenalkan sejak 2015.

“Projek yang dimulakan di Kuching, Sarawak itu bertujuan mengukur kesan perubahan tabiat menerusi pendidikan dalam kalangan ibu dan kanak-kanak prasekolah.

KANAK-KANAK diajar langkah mencuci tangan yang betul pada kempen Hari Cuci Tangan Global Ke-11 Lifebuoy. - NSTP/Rohanis Shukri
KANAK-KANAK diajar langkah mencuci tangan yang betul pada kempen Hari Cuci Tangan Global Ke-11 Lifebuoy. - NSTP/Rohanis Shukri

Tinjauan kaji selidik 21 hari

“Tinjauan kaji selidik selama 21 hari ini, turut membabitkan lebih 2,000 ibu bapa untuk memahami dan mengenali asas dalam penjagaan kebersihan serta pengetahuan mengenai HFMD.

“Hasilnya, kesedaran penggunaan sabun selepas ke tandas meningkat sehingga 13 peratus manakala penggunaan sabun sebelum (12 peratus) dan selepas makan (enam peratus),” katanya.

Dr Chee Kheong berkata, jenama penjagaan diri itu menyasarkan tabiat mencuci tangan dengan betul mencapai 1 bilion penduduk di seluruh dunia menjelang 2020.

“Usaha memupuk tabiat itu perlu diamalkan secara konsisten menerusi kerjasama sektor awam dan swasta.

“Sambutan kali ini turut memberi panduan khusus mengenai prosedur mencuci menggunakan sabun secara mudah dan berkesan untuk mencegah penyakit,” katanya.

Sementara itu, Dr Christopher Lee berkata, tangan yang tidak bersih dianggap medium pemindahan kuman paling utama.

Katanya, kebersihan tangan faktor penting untuk mengekang pemindahan bakteria, virus dan mikrob lain daripada sumber pencemaran.

“Anak kecil khususnya mudah terdedah pada penyakit berjangkit kerana mereka kurang berhati-hati ketika menggosok mata atau mengesat hidung selepas menyentuh benda dan individu lain,” katanya.

Mereka lebih mudah dijangkiti kuman yang menyebabkan penyakit berjangkit seperti cirit-birit dan pneumonia.

“Oleh itu, kanak-kanak perlu dididik dengan betul mengenai kepentingan mencuci tangan terutama pada waktu tertentu seperti sebelum dan selepas penggunaan tandas serta makan,” katanya.

INFO: Kaedah cuci tangan yang betul

• Guna sabun

• Gosok keseluruhan tapak dan belakang tangan, di celah jari selama 20 saat

• Bilas tangan di bawah air mengalir

• Lap hingga kering

Berita Harian X