Rabu, 24 Oktober 2018 | 7:06pm

Teksi tuntut penyelesaian adil, e-hailing mahu konsep persaingan diterima

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mencari kaedah terbaik untuk menamatkan konflik membelenggu perkhidmatan teksi dan e-hailing, dengan memastikan penyelesaian dirangka menguntungkan kedua-dua pihak.

Pemandu teksi, Abu Bakar Ahmad, 62, mengakui sehingga kini tiada usaha drastik dilakukan kerajaan dalam membela nasib industri teksi di negara ini, yang sememangnya terjejas sejak sejak perkhidmatan e-hailing diperkenalkan.

“Kami mahukan pembelaan lebih jelas diberi kerajaan demi kelangsungan dan masa depan pemandu teksi. Kita bukan tuntut pembelaan wang ringgit setiap masa, tetapi mahukan keadilan dari segi peluang untuk menjana sumber pendapatan.

“Sebagai contoh, pemandu teksi perlu membayar sewa, memperbaharui lesen dan sebagainya, sedangkan Grab (e-hailing) tiada semua itu,” katanya melalui temubual disiarkan Facebook (FB) Live Berita Harian Online, yang menggunakan khidmat teksi dari KL Sentral ke Bangsar, di sini, hari ini.

Pesara tentera yang memiliki pengalaman 18 tahun memandu teksi itu turut mengakui, sanggup menerima konsep persaingan dalam industri sekiranya isu keadilan diberikan tumpuan.

"Keadilan mesti dimulakan. Kami diminta bayar macam-macam, memperbaharui lesen dan sebagainya, tetapi mereka (pemandu e-hailing) tidak (perlu buat semua itu). Ini tidak adil.

"Semua (pemandu teksi) rasa sejak adanya perkhidmatan Grab, pendapatan mereka terjejas. Yang kita persoalkan bukan hanya bagaimana perkhidmatan itu dikendalikan, tetapi cara mereka beroperasi. Sehingga sekarang tiada undang-undang jelas yang memantau operasi mereka.

"Isu teksi-Grab ini boleh diselesaikan jika kedua-dua industri ini mengadakan perbincangan berterusan untuk mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak," katanya.

Beliau pada masa sama mengakui sikap pemandu teksi yang tidak bersatu dan berpecah belah dalam mendepani beberapa isu pokok menjadi antara punca banyak masalah membelenggu perkhidmatan itu kini, sukar diselesaikan.

Terima kehendak pelanggan

Selain teksi dipandu Abu Bakar, Berita Harian Online turut menggunakan khidmat Grab untuk mendengar luahan pemandu perkhidmatan e-hailing itu.

Lelaki dari Sabah yang hanya ingin dikenali Jay, berkata dia sudah memandu Grab sejak setahun lalu dan mampu meraih pendapatan tambahan lebih RM1,000 sebulan, sekali gus menjadi sumber pendapatan keduanya.

“Saya sedar mengenai tentangan pemandu teksi terhadap perkhidmatan ini, namun berpendapat semua pihak harus terbuka dan meraikan konsep persaingan dalam perniagaan.

“Kita perlu menerima kehendak pengguna. Jika mereka selesa dengan Grab, mengapa kita mesti sekat orang yang menawarkan perkhidmatan Grab," katanya.

Beliau juga bersetuju jika perkhidmatan Grab dilesenkan atau dikenakan peraturan tertentu oleh kerajaan, malah menyokong jika ada undang-undang diperkenalkan untuk memantau operasi Grab.

"Grab hanya platform untuk menyediakan perkhidmatan. Kami sentiasa dinilai dari segi mutu perkhidmatan ditawarkan. Walaupun ia satu cabaran kepada kami, itu adalah apa yang dimahukan oleh pengguna dan kita mesti capai (beri keselesaan)," katanya.

Sementara itu, Berita Harian Online mendapati kos tambang menggunakan Grab jauh lebih murah berbanding teksi apabila dikenakan caj RM7 bagi perjalanan dari Jalan Riong di Bangsar ke KL Sentral, manakala caj teksi RM17 bagi perjalanan balik.

KERAJAAN perlu mencari kaedah terbaik untuk menamatkan konflik membelenggu perkhidmatan teksi dan e-hailing. - Foto hiasan
KERAJAAN perlu mencari kaedah terbaik untuk menamatkan konflik membelenggu perkhidmatan teksi dan e-hailing. - Foto hiasan
Berita Harian X