Jumaat, 19 Oktober 2018 | 2:52pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kiri) berkenan menerima buku cenderahati daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (tiga kiri) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri Perak di Institut Tadbira Islam Perak. - Foto L Manimaran
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (kiri) berkenan menerima buku cenderahati daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (tiga kiri) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri Perak di Institut Tadbira Islam Perak. - Foto L Manimaran

Pengajian kesihatan, jihad di semua masjid

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan modul Fiqh Kesihatan dan buku Hadith Nailul Marram Fi Ghazawati Khairil Anam, di sini hari ini.

Modul Fiqh Kesihatan yang memfokus aspek pemakanan dan kecergasan serta buku Hadith Nailul Marram Fi Ghazawati Khairil Anam membabitkan hadis jihad, akan dijadikan buku pengajian dalam kuliah agama di semua masjid di negeri ini.

Baginda melancarkan kedua-dua bahan pengajian itu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri Perak di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sultan Nazrin kemudian turut berkenan menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada 31 penerima dan Sijil Pengajian Masjid Negeri Perak yang dianugerahkan kepada 26 penerima selain penghargaan kepada 17 hafiz dan hafizah muda yang menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Sementara itu, Mohd Yusop ketika ditanya mengenai modul fiqh kesihatan dan buku hadis jihad berkenaan berkata, pihaknya cuba untuk memecah tradisi majlis pengajian di masjid dengan memasukkan hal berkaitan jemaah.

“Jemaah masjid ini kebanyakannya yang sudah berumur, jadi kita bekerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk buat satu modul fiqh kesihatan.

“Ia akan dijadikan sebagai bahan kuliah di masjid untuk mengajar mengenai kesihatan, penjagaan kesihatan, pemakanan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, buku hadis jihad yang mengandungi lebih 300 hadis terpilih berkaitan jihad adalah usaha pihaknya dalam memberi pemahaman yang jelas kepada masyarakat mengenai konsep jihad yang sebenarnya.

“Sekarang ini ramai yang melihat jihad hanya sekadar peperangan sedangkan ia luas maknanya dan kita akan cuba mengubah persepsi masyarakat dalam melihat jihad yang sebenarnya.

“Membasmi kemiskinan juga adalah jihad, membasmi kejahatan juga jihad bukan sekadar peperangan. Buku ini adalah satu cara untuk kita mengelakkan tanggapan yang salah khususnya Islam itu sendiri mengenai konsep jihad,” katanya.

Mohd Yusop berkata, modul dan buku hadis jihad itu akan dijadikan bahan kuliah pengajian di semua masjid di seluruh negeri secara berperingkat.

Berita Harian X