Khamis, 18 Oktober 2018 | 11:27pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

Akhirnya Tun M terima perjuangan reformasi PKR - Anwar

SHAH ALAM: Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau berpuas hati apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya menerima perjuangan reformasi yang diperjuangkan parti itu.

Beliau berkata, agenda reformasi yang dibawa PKR sejak 20 tahun lalu bukan sia-sia apabila kini diangkat sebagai agenda nasional untuk membentuk Malaysia Baharu.

“Tidak boleh digambarkan perasaan saya apabila Dr Mahathir sendiri bercakap mengenai reformasi. Dr Mahathir begitu komited melakukan reformasi dalam sistem negara yang rosak serta perlu diubah.

“Selama 20 tahun saya berjuang dan akhirnya muncul ketua kerajaan (Dr Mahathir) yang mengungkapkan negara ini harus meninggalkan kebobrokan, rasuah dan kerosakan yang berlaku.

“Dahulu kita gesa reformasi kepada sistem kehakiman, SPRM, polis sehinggalah kepada gejala rasuah... akhirnya ia dilaksanakan... bezanya reformasi ini diucap oleh Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Pidato Malaysia Baharu di Dewan Raja Musa Seksyen 7, di sini, malam ini.

Hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau setuju memilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri demi memulihkan kerosakan yang berlaku dalam sistem negara.

“Saya senyum dalam tangisan (persetujuan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri)... hati terluka siapa yang tahu. Bagi saya derita peribadi amatlah kecil berbanding derita rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan kepemimpinan parti itu supaya tidak lupa diri dengan kejayaan membentuk kerajaan.

“Ingatlah perjuangan kita bermula dari jalanan ke Parlimen dan kemudian ke Putrajaya pula.

“Sikap mahu berebut kuasa, kerakusan dan kegelojohan untuk merebut kekayaan hanya akan melemahkan kita semua,” katanya.

Berita Harian X