Khamis, 18 Oktober 2018 | 5:18pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

STEM, BI, TVET dipertingkat

KUALA LUMPUR: Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) akan terus memperkasa sektor pendidikan dan latihan berkualiti, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan akan meningkatkan akses yang saksama kepada pendidikan dan latihan yang berkualiti. Bagi pendidikan asas, usaha akan ditumpu kepada peningkatan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), penguasaan bahasa Inggeris dan peningkatan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT),” katanya ketika membentangkannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menetapkan standard pendidikan yang lebih tinggi serta memupuk nilai murni dan budaya kerja yang positif seperti diamalkan di Jepun.

Katanya, bagi menjayakannya, kerajaan akan mengkaji semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Sementara itu katanya, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dikaji semula dengan menggantikannya dengan perundangan baharu yang menyeluruh dan lebih baik ke arah mewujudkan kebebasan akademik, bersuara dan berpersatuan.

“Kerajaan juga komited meningkat keupayaan belia dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.

“Kerajaan akan meneruskan program latihan prapekerjaan di bawah skim Latihan Bakal Pekerja dengan menyediakan dana bagi membantu membiayai yuran program di pusat pembangunan kemahiran negeri,” katanya.

Berita Harian X