Rabu, 17 Oktober 2018 | 7:00pm
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Iqmal Haqim Rosman

MKT UMNO akan bincang kedudukan Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan bermesyuarat bagi membincangkan kedudukan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan akan didakwa di mahkamah Jumaat ini.

Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata setakat ini MKT tidak mendapat maklumat jelas dan tepat mengenai nasib bakal menimpa Ahmad Zahid.

“Kita perlu tunggu dan lihat, apa yang berlaku dalam beberapa hari akan datang. Kita menunggu pengesahan daripada Ahmad Zahid dan SPRM.

“Selepas itu, baru kita tentukan memanggil mesyuarat MKT untuk membincangkan kedudukan Presiden,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahli MKT, Datuk Lokman Noor Adam dalam akaun Facebooknya hari ini mendedahkan Ahmad Zahid menerima notis untuk hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok sebelum didakwa pada Jumaat.

SPRM memanggil Ahmad Zahid empat kali bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya.

SPRM turut memanggilnya sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau bertemu dengan kerabat Arab Saudi yang dikatakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid sebelum ini turut ada menjelaskan tiada sebarang penyelewengan berlaku ke atas dana Yayasan Akal Budi yang dikendalikan keluarganya itu.

Menurutnya, apa yang berlaku sebenarnya ialah kesilapan pegawainya yang membuat pembayaran kad kredit dengan menggunakan duit yayasan dan bukannya menggunakan cek peribadi.

Katanya, beliau sudah menjelaskan perkara itu kepada SPRM dan bayaran balik ke akaun yayasan sudah dibuat sepenuhnya pada 2016.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X